Home Dunia Dua firma Singapura bekal barangan mewah ke Pyongyang

Dua firma Singapura bekal barangan mewah ke Pyongyang

NEW YORK – Laporan draf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa dua syarikat Singapora telah melanggar sekatan badan itu dengan membekalkan barangan mewah ke Korea Utara.

Laporan terakhir itu akan dikemukakan kepada Majlis Keselamatan PBB dan akan diterbitkan pada minggu ini.

Kerajaan Singapura berkata, ia tahu kes-kes tersebut dan akan memulakan siasatan.

PBB dan Singapura mengharamkan penjualan barangan mewah ke Korea Utara.

Sekatan global terhadap Korea Utara telah diperketatkan sejak dua tahun lalu susulan pelancaran berterusan ujian senjata nuklear dan peluru berpandu.

Walaupun ada perkembangan positif berhubung perbincangan antara pemimpin Korea Utara dengan Presiden Donald Trump baru-baru ini, tetapi sekatan ke atas Pyongyang masih berjalan.

Para penganalisis berkata, jika benar berlaku kebocoran oleh syarikat-syarikat Singapura, ia akan menimbulkan persoalan bagaimana ketidakpatuhan itu boleh berlaku merentasi Asia.

Di bawah sekatan PBB, ia menjadi satu kesalahan menjual barangan mewah kepada Korea Utara sejak tahun 2006.

Malah, di bawah undang-undang Singapura, barang-barang tersebut telah diharamkan memasuki Korea Utara sejak beberapa tahun lalu.

Dua syarikat Singapura yang disiasat ualah OCN dan T Specialist yang merupakan syarikat bersekutu dan mempunyai pengarah yang sama.

Tetapi kedua-dua firma itu menafikan melakukan kesalahan itu. – MalaysiaGazette