KUALA LUMPUR- Penggantungan cukai eksport minyak sawit oleh kerajaan Malaysia berjaya merangsang permintaan eksport bagi produk-produk kelapa sawit, sekali gus mengurangkan paras simpanan.
Affin Hwang Capital dalam nota penyelidikannya hari ini berkata, penyusutan inventori bagi bulan kedua pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) semakin baik pada Februari, meningkat sebanyak 6.7 peratus kepada 1.34 juta metrik tan berbanding tempoh sama tahun lalu.
Eksport mengukuh apabila pengimport-pengimport utama seperti China, India, Pakistan dan Kesatuan Eropah membeli lebih banyak produk minyak sawit Malaysia.
Peningkatan eksport menyumbang kepada penurunan 2.48 juta metrik tan inventori minyak sawit Februari berbanding 2.55 juta metrik tan pada Januari lalu.
“Secara keseluruhannya kami mengekalkan penarafan neutral kepada sektor peladangan dan anggaran harga minyak sawit adalah sekitar RM2,600 bagi satu tan metrik pada tahun ini,” katanya.
Malaysia mengeluarkan 1.34 juta metrik tan minyak sawit mentah (MSM) pada Februari, naik 6.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu didorong oleh penambahbaikan selepas pengeluaran industri itu terjejas akibat fenomena El Nino yang teruk pada 2016.
Bagaimanapun, bagi perbandingan bulanan, pengeluaran merosot sebanyak 15.4 peratus untuk tempoh empat bulan berturut-turut pada Februari disebabkan beberapa faktor bermusim.
“Kami mengharapkan pengeluaran MSM Malaysia terus bertambah baik pada 2018 dan mencecah paras lebih 20 juta tan metrik buat pertama kalinya (2017: 19.96 juta metrik tan).
“Bagi pendedahan sektor peladangan, kami memilih FGV sebagai pilihan utama kerana kami percaya pendapatan akan berkembang disokong oleh penghasilan buah tandan segar dan MSM di samping sumbangan lebih baik daripada perniagaan gula.
“Kami menyukai FGV kerana kami merasakan pengurusannya memberi fokus kepada menambah baik perniagaan teras, mengukuhkan kecemerlangan operasi dan mengoptimumkan kewangan dan modal insan,” katanya. – MalaysiaGazette