JAKARTA- Kira-kira 28 juta rakyat Indonesia atau sekitar 10 peratus populasi negara tersebut menghadapi masalah sukar tidur, demikian menurut pakar-pakar yang berbincang mengenai isu itu sempena Hari Tidur Sedunia yang bakal diraikan pada 16 Mac ini.
Menurut pakar psikologi klinikal, Aurora Lumbantoruan, stress dan depresi akan menyebabkan masalah tidur dan ini akan menjadikan seseorang itu mempunyai mental dan emosi yang lemah.
Kebanyakan rakyat Indonesia katanya, tidak menyedari masalah tidur dan kesihatan mental mempunyai hubung kait yang rapat.
Didorong oleh gaya hidup yang sibuk dan tidak sihat, tekanan, penggunaan komputer serta telefon bimbit, insomnia kini menjadi satu perkara biasa dalam kehidupan moden.
“Orang yang menderita akibat insomnia mempunyai kesukaran untuk tidur atau tidur tanpa gangguan.
“Sesetengah pesakit boleh tidur tetapi tidak berkualiti. Maknanya mereka masih rasa penat dan mengantuk walaupun selepas tidur lama,” katanya.
Aurora menasihatkan sekiranya seseorang itu mengalami masalah insomnia yang berlarutan selama lebih dua minggu, mereka perlu mendapatkan bantuan profesional.
Beliau juga menasihatkan pesakit supaya membuat satu jurnal bagi membolehkan mereka mengawal emosi dan membantu mereka menjauhkan alkohol atau ubat-ubatan untuk membantu mendapatkan tidur yang nyenyak.
Tambahnya, orang ramai seharusnya berhenti melihat skrin komputer dan telefon beberapa jam sebelum tidur.
“Memeriksa maklumat terkini menyebabkan otak kita kekal aktif dan seterusnya menyukarkan kita untuk tidur,” katanya lagi.-MalaysiaGazette