KANGAR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ekonomi negara tidak akan berkembang jika pembangunan infra-rakyat atau infrastruktur untuk rakyat tidak disediakan dan dilaksanakan dengan baik.
Beliau berkata, apabila keadaan ekonomi sentiasa berkembang dengan baik, kerajaan bukan sahaja mampu membina infra-rakyat malah berpeluang menyediakan pekerjaan dan memberi pelbagai subsidi kepada rakyat yang memerlukan.
“Jika ekonomi tidak berkembang, kita tidak mungkin dapat sediakan peluang pekerjaan kepada ribuan anak-anak kita yang keluar dari institut pengajian tinggi awam seperti Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) setiap tahun.”
“Dan jika keadaan ekonomi tidak berkembang, mana mungkin kita dapat beri subsidi dalam bidang pendidikan, kesihatan dan tampung perbelanjaan untuk semua penjawat awam,” katanya sewaktu berucap merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perlis dalam lawatan seharinya ke negeri ini.
Sebelum itu, ketibaan Najib yang diiringi isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor disambut Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dan ribuan rakyat.
Menyentuh mengenai hutang negara, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata ia kini berada di paras terkawal dan dibelanjakan untuk kegunaan pembangunan infrastruktur demi kesenangan dan kesejahteraan rakyat.
“Kalaulah sehari dua ini diwar-warkan, dipukul, dicanang, dimomok konon hutang negara adalah terlalu besar, tetapi hakikatnya dan sebenarnya adalah di sebaliknya.”
“Ini kerana kita telah tetapkan siling 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) kita. Hutang negara kita 50.8 peratus dari KDNK sahaja. Malah, Singapura, Jepun dan Itali mempunyai hutang lebih besar.”
“Tetapi itu bukanlah ukurannya kerana apa yang lebih penting adalah kemampuan membayar balik. Hutang kita 98 peratus di dalam ringgit tetapi kita mampu bayar balik,” katanya diselangi dengan tepukan gemuruh hadirin yang hadir di kompleks UTC tersebut.
Najib kemudian mengumumkan sebanyak 500 unit kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) Kangar akan dibina tidak lama lagi membabitkan kos RM78 juta dalam membantu rakyat tidak berkemampuan memiliki rumah kediaman. – MalaysiaGazette