KUALA LUMPUR – Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat sebanyak 3.0 peratus pada bulan Januari 2018 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Jabatan Perangkaan berkata, peningkatan pada bulan Januari 2018 disokong oleh pertumbuhan positif dalam semua indeks iaitu pembuatan (4.8%), perlombongan (1.5%) dan indeks elektrik (4.3%).
Output sektor pembuatan meningkat sebanyak 4.8 peratus pada bulan Januari 2018 selepas mencatatkan peningkatan sebanyak 5.3 peratus pada Disember 2017.
Sub-sektor utama yang mencatatkan peningkatan pada bulan Januari 2018 adalah produk makanan, minuman dan tembakau (14.4%), produk petroleum, kimia, getah dan plastik (2.1%) dan produk peralatan elektrik dan elektronik (4.0%).
Output sektor perlombongan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 1.5 peratus pada bulan Januari 2018 (Disember 2017 : -4.1%).
Pertumbuhan ini disumbangkan oleh peningkatan dalam indeks minyak mentah (1.8%) dan indeks gas asli (1.5%).
Output sektor elektrik meningkat sebanyak 4.3 peratus pada bulan Januari 2018 selepas mencatatkan 3.9 peratus pada bulan Disember 2017. – MalaysiaGazette