Home Politik Tanah Ijok : 200 peneroka fail tuntutan ke mahkamah esok

Tanah Ijok : 200 peneroka fail tuntutan ke mahkamah esok

Badrul Hisham Shahrin atau lebih dikenali sebagai Chegubard.

KUALA LUMPUR – Seramai 200 orang peneroka di Ijok merancang untuk menfailkan tuntutan ke atas kerajaan Selangor di Mahkamah Tinggi Shah Alam esok kerana tidak berpuas hati dengan isu penyelesaian tanah di kawasan rancangan tersebut.

Badrulhisham Shaharin atau Chegubard. foto AQIRA AZEMI, 19 FEBRUARI 2018

Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin berkata, ia merupakan langkah pertama yang akan dilakukan kumpulan peneroka tersebut bagi menuntut baki tanah yang diambil kerajaan negeri Selangor.

“Akhirnya hampir 200 peneroka telah bersetuju membawa kes tuntutan ke mahkamah.

“Peringkat pertama ialah mereka menuntut baki tanah mereka yang diambil semula oleh kerajaan negeri yang bernilai puluhan juta,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau memaklumkan wakil peneroka dan peguam mewakili kumpulan itu akan menfailkan tuntutan jam 9 pagi esok.

Menurut Badrul Hisham, langkah mengheret kerajaan Selangor ke mahkamah itu juga  bertujuan mendesak bagi mendapatkan dokumen berhubung penyelesaian tanah tersebut daripada dua syarikat pemaju, Mujur Zaman Sdn. Bhd. dan LBCDN Develoment Sdn. Bhd. yang mana Penyelaras Deklarasi Rakyat, Datuk Khairuddin Abu Hassan mempunyai jawatan didalamnya.

“Kes mahkamah ini bakal digunakan bagi mengasak pihak kerajaan negeri (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali), peguam terbabit (Sivarasa Rasiah), dua syarikat gagal serta syarikat pemaju baru untuk diseret ke kandang mahkamah bagi menyerahkan semua dokumen berkaitan,” katanya.

Sebelum ini beliau mendedahkan sebuah syarikat guaman yang dimiliki pemimpin atasan PKR dan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dilantik dalam penyelesaian skandal tanah Ijok.

Isu tanah Ijok dibangkitkan oleh Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang menuntut penjelasan Azmin mengenainya.

Abdul Rahman berkata, penyerahan tanah secara tergesa-gesa sebelum pendengaran kes di Mahkamah Persekutuan, menimbulkan curiga kerana keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan memihak kepada kerajaan negeri dalam isu mendapatkan balik tanah terbabit. – MalaysiaGazette