Home Nasional Perlu ada pasukan khas banteras pemerdagangan orang

Perlu ada pasukan khas banteras pemerdagangan orang

Noor Rashid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Sehingga Mac tahun ini sebanyak 60 kes melibatkan pemerdagangan orang yang direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Manakala pada tahun lalu, jumlah kes bagi akvititi itu adalah sebanyak 410, menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Sehubungan itu, dalam usaha polis membanteras aktiviti pemerdagangan orang pihaknya akan mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) bagi agar fokus utama iaitu sindiket yang melakukan pemerdagangan dapat dibanteras.

“Yang menjadi fokus kepada kita sindiket yang berada di belakang mangsa-mangsa yang diperdagangkan ini itu yang menjadi fokus kita.

“Kalau kita tidak merancang dengan baik ada peluang sindiket yang berada di belakang aktiviti ini tidak dapat didakwa di mahkamah,” katanya kepada pemberita ketika sidang media selepas program Engagement Bersama NGO berkaitan isu Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) hari ini.

Beliau juga dalam masa yang sama mengakui penguatkuasaan undang-undang berkaitan dengan ATIPSOM tidak boleh selesai dilaksanakan dengan mudah kecuali mempunyai pasukan khas yang bertanggungjawab.

“Undang-undang cukup kuat apa yang kita lihat pelaksanaan, melibatkan semua kadang-kadang undang-undang ada tapi pelaksanaan undang-undang itu berkaitan dengan ATIPSOM ini bukanlah sesuatu yang mudah.

“Aspek operasi khususnya di mana kita memerlukan waktu yang panjang, tinjauan, teknikal siasatan lanjut kita juga dapati kalau diserahkan pegawai siasatan di bawah mereka tidak akan buat jadi maka kita perlu ada pasukan khas yang diketuai oleh seorang pegawai yang agak senior untuk merancang tindakan-tindakan seperti saya katakan tadi siasatan supaya apabila kita menjalankan operasi kita sudah tahu di mana siapa nak tangkap dan sebagainya,” ujar beliau. – MalaysiaGazette