Petaling Jaya – Persatuan Pemborong Barangan Logam tidak berpuas hati dan kecewa dengan penguatkuasaan yang dijalankan ke atas berus cat yang menggunakan bulu babi.
Menurut persatuan tersebut, penguatkuasaan yang dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan itu adalah tidak adil memandangkan berus cat berkenaan telah dijual seawal era merdeka.
Sinchew Daily melaporkan, presiden persatuan tersebut, Low Cheng Hoe telah menghantar surat kepada kementerian supaya dialog diadakan.
“Ramai ahli mengadu bahawa kementerian merampas berus cat di sekitar Lembah Klang dan Petaling Jaya.
“Kami berharap kementerian dapat memberi balasan dalam masa terdekat mengenai cadangan dialog ini,” kata Cheng Hoe.
Mengikut peraturan yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, peniaga perlu mengasingkan produk yang mengandungi bahan daripada babi dan anjing serta menyediakan label yang sewajarnya.
Sehubungan dengannya, Pengarah Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Mohd. Roslan Mahayudin berkata, penguatkuasaan akan diteruskan sementara dialog diaturkan dengan peniaga.
Katanya, berus cat yang mengandungi bulu babi telah disita dari premis perniagaan kerana kandungannya tidak dinyatakan. – MalaysiaGazette