WASHINGTON – Presiden Donald Trump mahu melaksanakan tarif terhadap import China yang bernilai AS$60 bilion dengan mensasarkan sektor teknologi dan telekomuniasi.
Sumber memaklumkan, tarif itu dikaitkan dengan “Seksyen 301” siasatan harta intelek di bawah Akta Perdagangan Amerika Syarikat 1974 yang dimulakan pada bulan Ogos tahun lalu dijangka dimulakan tidak lama lagi.
Walaupun tarif itu akan disasarkan terutamanya pada teknologi maklumat, elektronik pengguna dan telekom, ia boleh menjadi lebih banyak dan senarai itu akhirnya boleh mencecah 100 produk.
White House enggan mengulas berhubung saiz dan tempoh masa pelaksanaan tarif itu.
Washington mensasarkan syarikat teknologi tinggi China untuk menghukum polisi pelaburan China yang memaksa syarikat-syarikat Amerika Syarikat untuk menyerahkan rahsia teknologi mereka sebagai pertukaran untuk membenarkan beroperasi di Beijing bersama dengan dakwaan pencurian harta intelek yang lain.
China menjalankan lebihan perdagangan berjumlah AS$ 375 bilion dengan Amerika Syarikat dan apabila penasihat ekonomi Presiden Xi Jinping melawat Washington baru-baru ini, pentadbiran itu menekannya untuk menghasilkan cara untuk mengurangkan jumlah tersebut.
Trump yang melaksanakan polisi melindungi negaranya telah bertindak menarik diri daripada pakatan14 negara dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).
Beliau telah memulakan perbincangan untuk merundingkan semula Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) dan yang paling baru-baru ini mengenakan tarif import keluli dan aluminium.
Walaupun tarif pada keluli dan aluminium, yang diumumkan minggu lalu oleh Trump, dilihat sebagai tidak ketara dari segi import dan eksport tetapi ia mensasarkan China dan mendapat bantahan keras daripada Beijing. – MalaysiaGazette