Home Akhbar Cina Ada yang terkejut, ada yang keliru

Ada yang terkejut, ada yang keliru

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan melancarkan operasi berus cat.

KANGAR, KUALA LUMPUR – Operasi berus cat yang dilancarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan meletakkan ramai peniaga perkakasan rumah dan barangan logam dalam keadaan terkejut atau keliru.

Sinchew Daily melaporkan, sesetengah peniaga di Kangar, Perlis yang takut akan penguatkuasaan telah berhenti menjual berus cat yang mengandung bulu babi buat sementara waktu.
Seorang peniaga turut memberitahu wartawan bahawa jarang bertemu pelanggan yang bertanya tentang bahan buatan berus cat.

Apabila berkunjung ke sebuah kedai yang dimiliki peniaga Melayu, pekerja di situ pula keliru dengan penguatkuasaan yang dijalankan ke atas berus cat dengan bulu babi.

Pemeriksaan oleh wartawan bagaimanapun mendapati kedai Melayu itu menjual berus cat yang tertulis “pure bristles” (bulu kejur) dengan bulu berwarna hitam.

Sesetengah peniaga barangan logam berpendapat pelabelan dan pengasingan amat menyusahkan kedai yang berskala kecil.

Sesetengah kedai tidak mempamerkan berus cat di tempat khusus, apatah lagi melabel dan mengasingkannya. Berus cat sebaliknya hanya dibungkus dalam beg plastik dan diletak bersama dengan barangan mengecat lain.

Presiden Persatuan Peniaga Besi dan Logam, Ooi Hung Hock berkata, tanda produk babi yang jelas pada berus yang dijual dapat menyelesaikan kontroversi yang berlaku.

“Saya percaya ia bukan masalah besar untuk peniaga meletakkan label pada produk dan mengizinkan pengguna memilih secara bebas,” katanya.

Ketua pasukan Perlaksanaan Dasar dan Undang-undang Syariah MCA, Gan Ping Sieu pula berkata, isu berus cat tidak harus dikaitkan dengan halal atau tidak halal yang terpakai hanya untuk makanan dan minuman.

Beliau berkata, peniaga justeru hanya perlu melabelkan bahan buatan untuk berus cat berkenaan seperti juga kosmetik tertentu yang melabelkan bahan haiwan yang digunakan. – MalaysiaGazette