KUALA LUMPUR – Seramai 650,000 pekebun kelapa sawit negara perlu mendapatkan Pensijilan Minyak Sawit Mapan Malaysia (MSPO) bagi memudahkan mereka pada masa depan.
Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, MSPO itu penting jika ia diperlukan oleh negara-negara pengimport sebagai syarat untuk membeli hasil dan produk sawit negara.
Menurutnya, kerajaan telah memberi peruntukan sebanyak RM130 juta untuk membolehkan pekebun-pekebun kecil memohon pensijilan itu.
“Hanya syarikat besar yang ada pensijilan MSPO, pekebun kecil tidak ada. Untuk memastikan mereka ini tidak terabai, perdana menteri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM130 juta supaya pekebun tidak terabai, dapat memohon secara percuma.
“Ini merupakan usaha kerajaan untuk memastikan nasib pekebun-pekebun kecil negara yang mewakili 40 peratus dalam sektor ini dijaga,” katanya dalam program Bicara 4 Mata di sini.
Jelas Mah, Malaysia juga sedang berusaha untuk memastikan MSPO itu diiktiraf bagi membuktikan negara serius dan komited dalam sektor kelapa sawit, sekali gus menolak semua persepsi buruk Eropah terhadap sektor kelapa sawit negara.
Beliau mengulangi pendirian kerajaan akan terus menentang pengharaman penggunaan kelapa sawit kerana menyifatkan tindakan itu satu bentuk diskriminasi dan cubaan Eropah untuk memelihara penanaman masing-masing.
Menyifatkan Malaysia menjadi mangsa daripada kejayaan penanaman kelapa sawit, Mah berkata, sawit kini mengusai lebih 60 peratus dalam pasaran minyak sayuran global berbanding 10 hingga 15 peratus pada 30 tahun lalu.
Dan, Eropah khuatir penguasaan itu mungkin mencecah sehingga 80 peratus jika sekatan ini tidak dilakukan.
“Kita sudah terlalu berjaya. Kelapa sawit telah berjaya memasuki ke semua pasaran, jadi mereka hendak jaga, ini satu tindakan protectionist. Oleh itu mereka semua mahu mengenakan sekatan kelapa sawit,” ujarnya. – MalaysiaGazette