Home Politik Muhyiddin gagal kemuka bukti Hadi sokong GST

Muhyiddin gagal kemuka bukti Hadi sokong GST

Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin digesa membuktikan dakwaannya terhadap Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa Presiden Pas itu menyokong Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Menyifatkannya sebagai fitnah, Ahmad Marzuk Shaary (Pas-Bachok) berkata, Muhyiddin yang menyokong cukai itu sewaktu bersama-sama Barisan Nasional (BN) sebelum ini menukar pendiriannya selepas menyertai parti pembangkang.

“Dua tiga hari lepas Pagoh berucap di kawasan saya dia kata, Presiden Pas menyokong GST, saya pun hairan dia ambil kenyataan di mana, saya rujuk hansard Parlimen jelas dan terang apa yang diucap ini berniat jahat untuk memburukkan imej Pas dan imej presiden Pas? Saya memohon kepada beliau untuk menarik balik kenyataan ini.

“Saya minta Pagoh teliti semula, tak baik YB cakap begitu, padahal YB waktu GST dilaksana pada 1 april 2015 YB masih lagi dalam kerajaan, kemudian 11 April kita buat himpunan di Padang Merbok dihadiri Presiden Pas, itu tolak GST?

“Sewaktu YB dalam kerajaan tak sebut pun bantah GST bahkan menyokong tiba-tiba kata kita sokong?

“Jangan begitu. Jangan jadi seperti anjing, anjing ni kalau dia cukup umur dia kencing angkat kaki sebelah waktu dia berak merata tapi bila nak kencing dia angkat kaki sebelah nak tunjuk dia sopan,” katanya ketika membahas titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V yang menyokong undang-undang mengekang berita palsu di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain perlu menarik kembali tomahan tersebut, Muhyiddin turut didesak membuat permohonan maaf secara terbuka di Bachok dalam ceramah di hadapan pengundi kawasan itu.

“Pertama bertaubat menyesal minta maaf bukan sekadar maaf sahaja bahkan kena perbetul semula kesilapan hasil daripada ucapan tersebut dia kena ceramah semula di Bachok beritahu “saya minta maaf”,” ujarnya.

Beliau terdahulu merujuk ceramah Muhyddin ketika Program Jelajah Harapan diBachok pada 10 Mac yang lalu.

Kemudian semasa tiba giliran Muhyiddin pula membahas titah Sultan, beliau gagal menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bachok itu sebaliknya berkata kenyataannya adalah berdasarkan laporan yang tersebar di media sosial.

“Saya baca daripada banyak laporan media, media sosial dan kenyataan-kenyataan itu ditentukan pelbagai pihak itulah hakikatnya,” ringkas kata Muhyiddin walaupun digesa. -MalaysiaGazette