LONDON – Dua hari selepas memecat Mauricio Pellegrino, Southampton FC melantik Mark Hughes sebagai pengurus baharu kelab tersebut sehingga ke akhir musim ini.
Pengurus berusia 54 tahun itu akan mengendalikan sesi latihan skuad The Saints hari ini dengan Mark Bowen serta Eddie Niedzwiecki turut menyertai perlantikan Hughes sebagai anggota staff kejurulatihan.
Hughes yang pernah tampil sebanyak 60 kali sebagai pemain bersama kelab tersebut berkata dia hadir dengan membawa pengalaman yang miliki di Liga Perdana Inggeris.
“Saya sedar kami perlu memenangi perlawanan selepas ini. Tetapi perkara terutama pada ketika ini ialah untuk memberi fokus kepada pemain dalam baki saingan pada musim ini.”
“Objektif pada kali ini sangat jelas, iaitu untuk memastikan kelab mampu kekal bersaing di Liga Perdana Inggeris pada musim hadapan. Itulah matlamat yang kita cuba laksanakan,” katanya dalam rakaman video di Twitter rasmi kelab itu.
Hughes dipecat daripada Stoke City pada Januari lalu selepas prestasi buruk sehingga kelab berkenaan menduduki tiga tangga tercorot.
Dua musim sebelum itu, pengendali berasal daripada Wales ini membimbing Stoke untuk mengakhiri saingan di tangga ke-9, dan kemudian di tangga ke-13 pada musim lalu.
Bekas penyerang Manchester United yang turut pernah beraksi bersama Barcelona dan Bayern Munich ini memulakan karier di dalam bidang pengurusan bersama skuad kebangsaan Wales pada 1999.
Selepas itu, Hughes turut pernah mengendalikan Blackburn, Manchester City, Fulham dan juga QPR sebelum menyertai Stoke pada 2013.
Southampton kini berada di kedudukan ke-16 Liga Perdana Inggeris dan hanya mempunyai kelebihan 1 mata daripada zon penyingkiran.
Cabaran Hughes bersama Southampton akan dimulai dengan saingan peringkat suku akhir Piala FA bertemu Wigan di Stadium DW pada Ahad akan datang. – MalaysiaGazette