Home Sukan KL Fight sasar 10,000 pengunjung

KL Fight sasar 10,000 pengunjung

Presiden KL Fight, Sharifah Norazleenda Al-Khaired membuat aksi Muay Thai pada Sidang Media KL Fight 2018 di Muayfit Damansara Perdana, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 16 MAC 2018.

KUALA LUMPUR – Kejohanan muaythai terbesar, KL Fight menyasarkan seramai 10,000 pengunjung akan hadir pada acara yang diadakan pada 5 Mei ini.

Presidennya, Sharifah Norazleenda Al-Khaired berkata, keyakinan itu berdasarkan buat julung kalinya kejohanan muaythai itu diadakan secara terbuka di Dataran Merdeka.

Beliau berkata, selain itu, KL Fight juga akan menampilkan atlet muaythai negara yang akan bersaing dengan atlet muaythai antarabangsa seperti dari Thailand, Indonesia, Jepun dan Perancis.

“Kami sangat teruja untuk menganjurkan KL Fight yang pertama kali diadakan di negara yang merangkumi pelbagai acara lagi seperti persembahan kebudayaan dan artis, gerai makanan dan pertandingan amatur muaythai.

“Malah kami juga berharap dapat mengumpul dana RM2 juta untuk disumbangkan kepada badan kebajikan seperti Hello Fight Club dan A-Star Foundation,” katanya.

Beliau yang juga pemilik Muayfit berkata demikian pada sidang media KL Fight di sini hari ini.

KL Fight dianjurkan bersama Muayfit dan Raja Boxing yang bakal dicatatkan dalam Malaysia Book Of Record dengan sasaran seramai 10,000 pengunjung.

Acara berbentuk kebajikan itu turut mendapat sokongan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican.

Sementara itu, Sharifah Norazleenda berkata, KL Fight diharap melonjak nama sukan muaythai yang masih baru di negara ini dalam menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup cergas dan sihat.

Jelasnya, selain membuat kebajikan, KL Fight mampu menarik anak muda mengenali sukan muay thai termasuk sesuai untuk kaum wanita.

Sementara itu, KL Fight turut diserikan atlet muaythai legenda Thailand, Saenchai yang terkenal di seluruh dunia dalam sukan tersebut.

Tiket berharga RM15 akan mula dijual pada 19 Mac ini menerusi rakan jualan tiket, PouchNATION.

Maklumat lanjut, orang ramai boleh layari laman web www.klfight.asia. – MalaysiaGazette