Home Dunia Rusia pula mahu usir diplomat Britain

Rusia pula mahu usir diplomat Britain

ASTANA – Susulan daripada tindakan Perdana Menteri Britain, Theresa May bertindak mengusir 23 diplomat Rusia berikutan insiden racun agen perisikan, kini Moscow pula bercadang untuk mengambil tindakan sama dalam masa terdekat.

Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov mendedahkan pihaknya kini berada pada peringkat terakhir sebelum membuat pengumuman pengusiran semua diplomat Britain dari negara itu.

“Sudah tentu kita akan berbuat perkara yang sama, tidak ada sebarang rundingan dalam isu ini. Kita sudah jelaskan dan nafikan pembabitan kita dalam perkara ini namun Britatin tetap berdegil dan mengusir diplomat kita.

“Kita tidak ada sebarang motif untuk melakukan serangan sedemikian ke atas agen risikan Sergei Skripal dan Yulia namun mereka tetap berdegil untuk menuduh kita tanpa sebarang bukti,” katanya.

Lavrov berkata demikian selepas diasak pemberita di ibu negara Kazakhstan, Astana untuk rundingan Syria bersama Menteri Luar Iran dan Turki.

Jelas Lavrov, Rusia tidak mempunyai motif untuk menyasarkan Skripal, namun mencadangkan ada pihak lain menggunakan racun itu untuk menimbulkan masalah penganjuran Piala Dunia.

Kelmarin, May bukan sahaja bertindak mengusir 23 diplomat dari Britain, beliau juga menggantung hubungan peringkat tertinggi dengan Rusia termasuk Piala Dunia.

Malah May memberi amaran untuk mengenakan tindakan ke atas warga Rusia yang dipercayai me­lakukan aktiviti penentangan de­ngan membekukan aset mereka di Britain.

May memberitahu Parlimen bahawa Rusia gagal memberi reaksi terhadap tuntutan beliau bagi menjelaskan bagaimana bahan kimia ciptaan Kesatuan Soviet, Novichok digunakan dalam serangan di bandar Salisbury pada 4 Mac lalu

Dalam mesyuarat tergempar di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) di New York, Amerika Syarikat (AS) memihak kepada Britain dengan menolak dakwaan Moscow bahawa mereka tidak terlibat dalam se­rangan ke atas Skripal dan anak perempuannya, Yulia. – Agensi