LONDON – Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino menyifatkan pemain tengahnya, Dele Alli merupakan pemain terbaik dunia ketika ini untuk kalangan pemain berusia 21 tahun.
Penerima anugerah ‘PFA Young Player Of The Year’ bagi dua musim berturut-turut ini kini melalui prestasi terbaiknya bersama Tottenham.
Alli yang juga merupakan pemain antarabangsa England telah menjaringkan enam gol dan mencipta sembilan bantuan jaringan dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini.
Pochettino secara terbuka memberikan pujian kepada anak muda yang bakal menjangkau usia 22 tahun pada bulan hadapan.
Dalam pada itu, Pochettino beranggapan kritikan diberikan kepada Alli adalah perkara yang sukar untuk difahami buat dirinya.
”Apabila anda membandingkan Dele Alli yang berusia 21 tahun dengan pemain lain di dunia, tidak hanya di Eropah. Saya berasakan dia adalah yang terbaik.
”Pada usianya menerusi persembahan yang ditampilkan, bantuan jaringan dan dia membuktikan segalanya. Tetapi saya tidak memahami kenapa masih ada yang mempunyai perasaan seperti itu (mengkritik),” ujar Pochettino kepada BBC Sport.
Pengurus kelahiran Portugal itu turut mencabar menamakan seorang pemain berusia 21 tahun yang lebih baik berbanding Alli.
“Mungkin anda akan menemui yang sepertinya tetapi lebih baik dari dia?”
”Mungkin saya tidak objektif kerana dia adalah pemain saya tetapi pada saya, dia sangat menakjubkan,” katanya berterus-terang. – MalaysiaGazette