Home Nasional Vell Paari rayu TMJ kekal Presiden FAM

Vell Paari rayu TMJ kekal Presiden FAM

S. Vell Paari

KUALA LUMPUR – Pengumuman Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk berundur sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkuatkuasa serta merta mencetuskan kejutan pelbagai pihak termasuk peminat sukan bola sepak tanah air dan pemimpin negara.

Keinginan pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) yang membuat pengumuman itu dalam laman sosial Facebook FAM menarik perhatian segenap lapisan yang rata-ratanya tidak dapat menerima keputusan mengejut itu.

Antaranya, Bendahari Agung MIC, Datuk Seri S. Vell Paari yang mahu TMJ mempertimbangkan semula keputusan itu dan kembali memimpin FAM yang ternyata masih memerlukan beliau sama seperti dulu.

Menurut Vell Paari, kepakaran dan pengaruh TMJ dalam membangunkan sukan bola sepak di negara ini.

“Saya mohon kepada TMJ untuk mengubah fikiran, tolong fikir demi masa depan FAM yang masih lagi memerlukan sumbangan anda dalam arena bola sepak.

“Tanpa kehadiran TMJ, rangking dan kualiti bola sepak negara sudah pasti lebih buruk dalam rangking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Buat prtama kali dalam sejarah bola sepak negara, semua pasukan bola sepak kelab dan negeri dalam liga tempatan telah menerima dana pembiayaan RM1 juta hingga RM3 juta tahunan tanpa bergantung dengan kerajaan kerana usaha TMJ sendiri.

“Saya boleh berterusan menyenaraikan pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh beliau bagi pasukan bola sepak kita sebenarnya, ketiadaan beliau adalah satu kehilangan yang amat besar,” katanya dalam kenyataan kepada Malaysia Gazette hari ini.

Vell Paari menambah, seandainya ada pihak termasuk peminat sukan bola sepak mahu melihat kejayaan luar biasa dalam tempoh sekelip mata, ianya adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

“TMJ baru sahaja diangkat menjadi Presiden FAM, untuk memperbaiki skuad Harimau Malaya, kita juga perlukan masa yang panjang. Untuk mengharapkan sesuatu yang luar biasa adalah mustahil.

“Saya juga sangat berharap agar majlis FAM menolak keputusan TMJ yang mengambil keputusan untuk berundur” ujarnya.

Jelas Vell Paari, FAM dan penyokong bola sepak Malaysia memerlukan kepimpinan TMJ yang berwawasan serta dinamik dan tidak sanggup kehilangan beliau dari arena bola sepak tanah air dengan begitu cepat.

“Bagi kami, hanya TMJ yang mampu mengembalikan era kegemilangan bola sepak negara, TMJ tolong ubah fikiran anda demi kami penyokong setia yang sayang baginda,” katanya.

Semalam, selepas beberapa kali berkata akan meletak jawatan Presiden FAM, Tunku Ismail mengotakannya dengan memberi alasan kedudukan Harimau Malaya yang jatuh ke kedudukan ke-178 dunia sebagai sebab beliau mengambil tindakan tersebut.

Ini adalah kali kedua Tunku Mahkota Johor itu melepaskan jawatan dalam FAM setelah pertama kali melakukannya pada Februari 2015, tidak lama selepas dilantik sebagai Penasihat Presiden oleh Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika itu.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim