Home Politik Gandingan calon BN Sg. Besar beri laluan sukar pembangkang

Gandingan calon BN Sg. Besar beri laluan sukar pembangkang

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos (tiga kiri), Ahli Parlimen Sungai, Budiman Mohd Zohdi (dua kiri) dan anggota jawatankuasa MCA Bahagian Sungai Besar, Lee Yee Yuan (kanan) menjadi gandingan mantap bakal calon BN di Parlimen Sungai Besar, DUN Sungai Panjang dan DUN Sekinchan.

KUALA LUMPUR – Gandingan mantap tiga bakal calon Barisan Nasional (BN) dalam kawasan Selangor utara bakal mengegarkan mana-mana calon yang memberi saingan bagi merebut Parlimen Sungai Besar, DUN Sungai Panjang dan DUN Sekinchan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketiga-tiga nama yang disebut-sebutkan itu ialah Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos; penyandang Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd. Zohdi dan pemimpin Pemuda MCA, Lee Yee Yuan mempunyai kelebihan sebagai anak tempatan.

Nama Jamal tidak asing lagi buat pengundi Sungai Besar dan beliau lebih dikenali kerana idea di luar kotak dan tindakan agresifnya terhadap kepincangan kepimpinan Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Harapan.

Walaupun Jamal sebelum ini dilihat enggan menjadi calon dan bersedia memberi laluan kepada pemimpin BN lain untuk bertanding, namun kerana permintaan orang ramai dan gesaan pengundi – beliau terpaksa akur kehendak itu dan mula menawarkan diri secara terbuka sejak Khamis lalu.

Sikap ‘pemurah’ Pengerusi BN Sungai Besar itu sebelum ini yang sanggup menggadaikan kepentingan peribadi demi memenangkan parti dengan memberi laluan kepada Budiman pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar pada 18 Jun 2016 mendapat pujian semua pihak.

Tindakan ‘budiman’ Jamal itu terbukti memberi kemenangan besar kepada BN apabila berjaya meningkatkan majoriti undi dari 399 kepada 9,191 undi, sekali gus mengubah status kerusi P093 itu daripada marginal kepada kubu kuat BN.

Jamal mengakui usaha mendapatkan kemenangan itu mudah, namun untuk mengekalkan kemenangan itu sesuatu yang sukar khususnya pada PRU14 akan datang susulan DUN Sekinchan masih menjadi kubu kuat DAP sejak tiga penggal lalu.

Maka tidak hairanlah pada pilihan raya kali ini Jamal tidak teragak-agak mahu bergandingan dengan Budiman dan Yee Yuan dalam misi ‘menguburkan’ DAP dan merampas kembali DUN Sekinchan.

Walaupun idea Jamal itu tidak disenangi sesetengah pihak dalam parti khususnya penduduk tempatan, namun setelah lebih 22 siri ceramah penerangan dilakukan setiap minggu tanpa henti, masyarakat luar bandar itu khususnya ahli UMNO Bahagian Sungai Besar dan semua cawangan mula menerima dengan hati terbuka.

Tindakan pantas Jamal sama ada menyantuni pengundi mahu pun menangani permasalahan rakyat seperti memberi bantuan segera kepada mangsa kebakaran, program jualan ikan murah dan restoran makanan percuma memberi kelebihan kepada beliau, sekaligus ciri-ciri itu melayakkannya menjadi calon wakil rakyat.

Selain itu, kepimpinan Budiman selepas berjaya memenangi DUN Sungai Panjang dan Parlimen Sungai Besar pada pilihan raya lalu turut memberi laluan sukar kepada pembangkang sama ada Pas atau  Pakatan Harapan kerana rekod prestasi wakil rakyat BN itu tidak disangkal lagi.

Berbekalkan sebuah kenderaan Perodua Myvi berwarna putih, Budiman hampir setiap minggu akan berlegar di setiap pelusuk Sungai Besar untuk menemui, mendengar dan menyelesaikan masalah pengundi tanpa sebarang protokol.

Budiman menjadi gandingan hebat Jamal kerana beliau berupaya berkomunikasi dengan masyarakat Cina khususnya dalam DUN Sekinchan dengan mudah dan ada kalanya berkaraoke dalam bahasa Mandarin untuk menyantuni pengundi di kawasan DAP itu.

Memandangkan kerusi N04 DUN Sekinchan majoriti pengundinya dalam kalangan masyarakat Tionghua, Jamal juga akur dengan ‘restu’ kepimpinan MCA untuk meletakkan Yee Yuan selaku anggota jawatankuasa MCA Bahagian Sungai Besar sebagai calon BN di situ.

Yee Yuan merupakan seorang arkitek disyorkan MCA bertanding di kerusi DUN itu kerana dilihat antara individu berkaliber yang mampu membawa perubahan besar kepada kawasan itu.

Bagaimanapun gandingan mantap tiga anak muda tempatan itu di kawasan Selangor utara itu perlu menunggu ‘restu’ daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang bakal mengumumkan senarai calon BN itu dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette