Home Nasional Perangi keganasan perlu kesepaduan ASEAN, Australia

Perangi keganasan perlu kesepaduan ASEAN, Australia

SYDNEY – Semua negara anggota ASEAN dan Australia perlu bekerjasama dalam usaha mencegah penyebaran ideologi pengganas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya tanpa kesepaduan, semua pendekatan dan usaha memerangi pengganas ekstremis tidak akan berkesan.

“Tiada negara yang mampu memerangi keganasan secara bersendirian. Sekiranya kita lebih bersatu, maka akan menjadi lebih berkesan dalam memerangi ancaman yang dahsyat dan tidak berperikemanusiaan ini.

“Tiada siapa pun dalam kalangan kita yang selamat daripadanya tetapi andainya kita bersatu, kita akan lebih selamat,” katanya dipetik sebagai berkata ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Penutupan Persidangan Pencegahan Keganasan di International Conference Centre (ICC) Sydney di sini hari ini.

Persidangan itu adalah antara acara utama yang diadakan sempena Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia selama dua hari bermula hari ini.

Najib merupakan pemimpin ASEAN tunggal yang dijemput memberi ucapan pada majlis penutupan persidangan itu. Seorang pemimpin lagi ialah Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull.

Perdana Menteri berkata rantau ini bukan sahaja berdepan dengan risiko menerima akibat buruk daripada kegiatan jenayah rentas sempadan, tetapi juga banyak isu lain, termasuk keganasan dan pergerakan manusia yang tidak menghormati peraturan berkaitan sempadan.

“Lebih erat kita bekerjasama berhubung isu ini, maka kita akan lebih berjaya. Sebagai contoh, saya ingin sebut mengenai Redback Operation yang diadakan setiap tahun antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Pasukan Pengawal Sempadan Australia serta inisiatif Rondaan Selat Melaka, yang menggandingkan Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand.

“Mekanisme serupa juga diwujudkan di laluan air strategik lain seperti di Laut Sulu, di mana pihak berkuasa Malaysia, Indonesia dan Filipina bekerjasama rapat untuk mengekang kegiatan menculik dan pelanunan di wilayah perairan yang luas itu,” katanya.

Ketika berkongsi pengalaman Malaysia dalam memerangi keganasan, Najib berkata Malaysia mempunyai senarai panjang serta rekod yang konsisten dalam menghadapi cabaran berkaitan keganasan dan keganasan pelampau. -MalaysiaGazette