Home Utama Adik perempuan Guan Eng dipersiapkan untuk jawatan Ketua Menteri?

Adik perempuan Guan Eng dipersiapkan untuk jawatan Ketua Menteri?

Dikhabarkan adik Lim Guan Eng iaitu Lim Hui Ying yang juga anak bongsu Lim Kit Siang akan diletakkan sebagai calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bungah.

PULAU PINANG – Keikhlasan Ketua Menteri, Lim Guan Eng melepaskan jawatan itu kepada Pengerusi DAP negeri, Chan Kon Yeow sekiranya Pakatan Harapan kekal memerintah negeri ini mula mencetuskan persoalan selepas timbul desas-desus adik perempuan beliau akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Dikhabarkan, adiknya itu, Lim Hui Ying yang juga anak bongsu Lim Kit Siang akan diletakkan sebagai calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bungah.

Hui Ying yang juga Setiausaha DAP Pulau Pinang difahamkan sedang dipersiapkan untuk menggantikan Guan Eng sebagai Ketua Menteri sekiranya keputusan mahkamah berkaitan kes rasuah Guan Eng tidak berpihak kepada beliau.

Pencalonan Hui Ying menguatkan lagi usaha memperkukuhkan kekuasaan Dinasti Lim dalam parti DAP dan kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang selepas sebelum ini Kit Siang juga dikhabarkan akan bertanding di negeri ini sebagai persediaan sebagai calon Ketua Menteri.

Hui Ying juga dilihat sebagai calon tepat untuk bertanding di DUN Tanjung Bungah berikutan penyandangnya yang juga ahli DAP, Teh Yee Cheu sudah mengisytiharkan keluar parti sebaik sahaja Parlimen dibubarkan.

Malah, Yee Cheu yang mempunyai pengaruh serta sokongan kuat dalam kalangan pengundi di Tanjung Bungah juga sudah mengumumkan akan bertanding mempertahankan kerusi itu pada PRU-14 sama ada sebagai calon Bebas atau menyertai mana-mana parti politik berkecuali.

Sehubungan itu, DAP memerlukan calon yang dilihat mampu mengimbangi kekuatan Yee Cheu dan Hui Ying dengan bantuan ‘aura’ Guan Eng dan Kit Siang menjadi calon paling sesuai sekali gus memudahkan laluannya untuk dilantik sebagai Ketua Menteri.

Pada PRU-13, nama Hui Ying juga sudah disebut-sebut bakal dicalonkan DAP namun dinafikan Guan Eng.

DAP Pulau Pinang sebelum ini dilaporkan berdepan isu perpecahan dalaman ekoran wujud kumpulan yang menolak pelantikan Guan Eng sebagai Ketua Menteri kerana beranggapan Kon Yeow lebih layak untuk jawatan itu. – MalaysiaGazette