Home Nasional Najib hadiri sesi Pleno Pemimpin Sidang Kemuncak ASEAN-Australia

Najib hadiri sesi Pleno Pemimpin Sidang Kemuncak ASEAN-Australia

Najib Razak ketika menghadiri sidang Pleno Pemimpin Sidang Kemuncak ASEAN-Australia. fpto Bernama

SYDNEY- Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak menghadiri sesi Pleno Pemimpin, segmen utama Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia 2018 di sini pada Ahad.

Sesi itu yang dihadiri pemimpin daripada 10 negara ASEAN, bermula dengan ucapan pembukaan oleh Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull diikuti ucapan oleh Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.

Singapura ialah pengerusi ASEAN ketika ini.

Sesi Pleno Pemimpin merupakan acara utama sidang kemuncak itu.

Ia mengetengahkan pelbagai peluang untuk menjalin kerjasama lebih rapat dalam bidang kepentingan bersama – daripada membanteras pemerdagangan orang dan penyeludupan manusia sehinggalah memperkukuhkan lagi kerjasama dalam maritim serta menjana lebih banyak peluang untuk rakyat dan perniagaan.

Ia turut memberi tumpuan pada perdagangan, pembangunan ekonomi, menangani keganasan dan keselamatan siber.

Selepas sesi pleno itu, pemimpin berkenaan akan menghadiri jamuan tengah hari sambil menyambung perbincangan penting itu.

Kemudiannya, pemimpin berkenaan akan menghadiri Permukiman Pemimpin yang menggalakkan perbincangan berhubung perkara teras dan keutamaan dalam suasana tidak formal.

Ini merupakan julung kalinya Australia menjadi tuan rumah sidang kemuncak itu.

Persidangan dua hari bermula Sabtu itu dianjurkan untuk membincangkan hala tuju dan kerjasama antara ASEAN dan Australia. Ia juga untuk memperingati peningkatan hubungan ASEAN-Australia ke taraf rakan strategik.

Sidang Kemuncak ASEAN-Australia itu merangkumi tiga sesi iaitu Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN-Australia, Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN-Australia dan Persidangan Pencegahan Keganasan ASEAN-Australia. – MalaysiaGazette