Home Nasional Semua laluan utama Plaza Tol Sg Rasau dibuka sepenuhnya

Semua laluan utama Plaza Tol Sg Rasau dibuka sepenuhnya

PETALING JAYA – Semua laluan utama yang baharu di tapak Plaza Tol Sungai Rasau di Lebuh Raya Persekutuan Laluan 2 (FHR2) telah dibuka sepenuhnya secara berperingkat kepada orang ramai mulai 9.25 pagi tadi.

Sebelum ini, laluan utama yang baharu di tapak Plaza Tol Batu Tiga telah dibuka kepada orang ramai pada 13 Mac lalu.

Dengan pembukaan sepenuhnya kedua-dua laluan utama itu, pengguna di lebuh raya tersebut kini boleh menikmati perjalanan yang lebih lancar, menurut PLUS Malaysia Berhad.

Pembukaan ini berikutan tamatnya fasa ketiga kerja-kerja perobohan struktur fizikal bangunan bekas Plaza Tol Sungai Rasau melibatkan kerja-kerja perobohan fizikal bahagian tengah bumbung plaza tol, kerja-kerja menanda jalan serta pemasangan penghadang jalan bagi penjajaran semua laluan utama.

Kerja-kerja perobohan fizikal fasa ketiga Plaza Tol Sungai Rasau telah berjalan dengan lancar mengikut jadual.

Sehubungan itu, fasa terakhir yang melibatkan perobohan struktur fizikal bahagian tepi bumbung plaza tol tersebut kini sedang dijalankan.

Fasa pertama dan kedua yang melibatkan proses pemindahan aset-aset plaza tol dan proses penutupan dan lencongan jalan telah dijalankan sejak 22 Januari dan 20 Februari lalu.

Kerja-kerja perobohan Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau telah bermula sejak 20 dan 21 Februari lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung bulan Mac ini.

PLUS menasihatkan semua pemandu yang melalui kawasan bekas plaza tol tersebut supaya mematuhi had laju yang ditetapkan serta berhati-hati kerana kerja-kerja perobohan (fasa terakhir) masih lagi giat dijalankan. – MalaysiaGazette