Home Utama Lelaki ditahan cuba rampas senjata polis

Lelaki ditahan cuba rampas senjata polis

KAJANG – Seorang lelaki yang di bawah pengaruh dadah ditahan selepas cuba merampas senjata api anggota sentri yang sedang bertugas di balai itu kira-kira pukul 2.40 pagi ini.

Dalam kejadian itu, anggota polis itu cedera selepas bergelut dengan suspek.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, lelaki yang berumur 23 tahun itu telah memasuki balai polis dan secara tiba-tiba cuba merampas senjata api jenis HK MP5 daripada anggota sentri yang sedang bertugas.

“Ketika kejadian berlaku pergelutan antara suspek dengan anggota polis dan suspek berjaya ditangkap dengan bantuan beberapa anggota Pejabat Pertanyaan Balai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pergelutan itu, seorang daripada anggota yang memberi bantuan menangkap suspek mengalami kecederaan di pergelangan tangan.

Malah, semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek pernah terbabit dalam kes tipu.

Mazlan berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 90 Akta Polis kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis dan Seksyen 332 Kanun Keseksaan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap penjawat awam,” katanya. – MalaysiaGazette