KUALA LUMPUR – Pengurus kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Rozi Abdul Razak memohon peminat penyanyi kesayangan ramai itu memberi ruang sebelum bersalin.
Rozi menerusi Instagramnya berkata, peminat tidak perlu risau kerana berita Siti selamat melahirkan bayi sulungnya akan dikongsi secara adil apabila sampai waktunya nanti.
“Belum… belum bersalin. Kepada para peminat dan rakan-rakan media yang dihormati, jangan risau, sebagaimana beliau membuat pengumuman hamil secara sama rata, jika beliau melahirkan nanti pihak kami juga akan berbuat demikian,” tulisnya hari ini.
Rozi turut berterima kasih kepada orang ramai yang mendoakan dan yang tidak putus-putus bertanya tentang perkara tersebut.
“Kita bagi Siti, suami dan keluarganya sedikit ruang dan kala tiba saat dan harinya, pasti khabar ini akan dikongsikan bersama,” ujarnya.
Sementara itu, Siti turut mengulang siar status berkenaan dan memberitahu akan berkongsi berita gembira itu pada masa yang sesuai.
“InshaaAllah… Saya akan kongsikan pada masa yang sesuai ye,” tulisnya.
Pada 13 Oktober lalu, Siti menamatkan teka-teki mengenai kehamilannya apabila beliau mengesahkan sedang mengandung empat bulan selepas 11 tahun kahwin.
Beliau dijangka melahirkan cahaya mata sulung itu dalam masa terdekat secara pembedahan. – MalaysiaGazette