Home Nasional Mustafar dilantik Profesor Adjung UIAM

Mustafar dilantik Profesor Adjung UIAM

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali menerima sijil pelantikan beliau sebagai Profesor Adjung Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UAIM) daripada Rektor UIAM, Prof. Datuk Seri Dr. Zaleha Kamaruddin (dua kiri) dengan diiringi Timbalan Rektor UIAM, Prof. Dr. Abdelaziz Berghout (kiri) dan Dekan Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim UIAM, Prof. Datuk Seri Dr. Ashgar Ali (kanan) pada Majlis Syarahan Perdana dan Penyerahan Perlantikan Profesor Adjung Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim UIAM di Kampus Induk UIAM, Gombak. foto SAFWAN MANSOR, 19 MAC 2018

GOMBAK – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hari ini melantik Pengarah Jabatan Imigresen (JIM), Datuk Seri Mustafar Ali sebagai Profesor Adjung Fakulti Undang-Undang Ahmad Ibrahim (AIKOL) dan menjalin kerjasama strategik dengan agensi kerajaan tersebut.

Surat pelantikan diserahkan oleh Rektor UIAM, Datuk Seri Zaleha Kamaruddin sempena penyampaian Syarahan Perdana IIUM Global yang disampaikan oleh Mustafar.

Gelaran kehormat tersebut diberikan kepada individu yang mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam sesuatu bidang serta akan menjadi tenaga pengajar sambilan di universiti tersebut.

Dalam pada itu, Mustafar berkata, beliau akan cuba membantu dalam urusan proses visa pelajar bagi kemasukan ke UIAM memandangkan terdapat pelajar antarabangsa yang menyambung pelajaran dan dengan kerjasama strategik antara JIM dan UIAM diharapkan urus tadbir dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

“Hari ini kita menyaksikan bagaimana koloborasi dengan sebuah pengajian tinggi dimana UIAM mempunyai ramai pelajar antarabangsa… semestinya pakatan strategik ini akan bantu kita urus tadbir pas dan visa pelajar mereka.

“Kita akan permudahkan urus tadbir cara permohonan visa dan pas pelajar tersebut tapi dalam pada itu kita pastikan tahap keselamatan negara sebagai satu ketetapan,” kata Mustafar.

Dalam syarahannya, Mustafar berkongsi pengalaman serta pencapaian JIM dalam mendaulatkan hal keselamatan negara tanpa kompromi dan ia menunjukkan pihak JIM sentiasa komited dalam menjaga isu-isu melibatkan kedaulatan negara.

Dengan kerjasama ini, pihak UIAM dan JIM juga akan bertukar-tukar kepakaran dan ilmu dalam menganjurkan seminar, persidangan dan simposium.

Menerusi pelantikan tersebut juga, AIKOL juga akan membentuk satu subjek iaitu Diploma Perundangan untuk kakitangan JIM melanjutkan pengajian mereka dan mengambil Ijazah Undang-Undang (LLB) dan akan ditawarkan kepada yang berkelayakan untuk menyambung ke peringkat Sarjana Muda dan Sarjana. – MalaysiaGazette