Home Ekonomi MSPO: Jumlah pekebun masih kecil

MSPO: Jumlah pekebun masih kecil

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong bercakap pada MSPO Appreciation Day di Le Meridien, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 19 MAC 2018.

PUTRAJAYA – Sebanyak 28,000 pekebun kecil yang mengikuti skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sejak ia dimandatorikan pada Mei tahun lalu, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong.

Mengakui jumlah itu kecil jika dibandingkan jumlah keseluruhan pekebun kecil di Malaysia iaitu 650,000 orang namun Mah optimis angka tersebut akan meningkat dalam tempoh dua tahun.

“Kita akui banyak pekebun kecil belum dapat sijil, kita akan mempertingkatkan aktiviti untuk mereka dapatkan MSPO. Beri saya dalam satu dua tahun ini ,peratusan pekebun kecil akan meningkat,” katanya kepada pemberita ketika sidang media.

Mah terdahulu merasmikan Hari Penghargaan MSPO, yang menganugerahkan sebanyak 8 syarikat dan 49 kelompok pekebun kecil untuk tanaman sawit dari seluruh negara.

Terdahulu dalam ucapannya, Mah berkata, setakat ini seluas 758,923 hektar tanah kelapa sawit telah diberi sijil.

Menurut beliau, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi mensasarkan 1.8 juta hektar tdaripada jumlah keseluruhan 5.8 juta hektar tanaman kelapa sawit akan mendapat MSPO pada tahun ini.

Mah memberi jaminan bahawa Lembaga Minyak Sawit Malaysia ( MPOB) yang berperanan memberikan insentif 100 peratus kepada pekebun kecil untuk mendapatkan sijil MSPO akan meningkatkan jumlah peserta. – MalaysiaGazette