Home Politik Taraf LGE jatuh bila semai politik kebencian

Taraf LGE jatuh bila semai politik kebencian

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memuat naik kenyataan di akaun Facebooknya mengecam tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mengajar politik kebencian kepada pelajar tadika hari ini.

KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng meletakkan tarafnya begitu rendah sekali apabila mengheret murid-murid tadika ke dalam kancah politik kebencian dan perbalahan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tidak layak bagi seorang Ketua Menteri merendahkan dirinya jatuh ke tahap itu dengan mempelopori budaya politik hasutan, adu-domba, persengketaan dan kebencian.

“Masa depan pendidikan kanak-kanak tidak wajar menjadi medan perpolitikan murahan apatah lagi dicanai dengan sentimen kebencian sedari kecil.

“Kalau inilah pendekatan yang dibanggakan sebagai budaya politik baharu dan matang oleh DAP dan pakatan politiknya, alamat Malaysia berhadapan dengan masa depan kelam.

“Ini kerana generasi ingin dilahirkan polikus seperti ini adalah generasi yang terbina di atas sentimen amarah, fitnah, benci dan permusuhan berpanjangan,” katanya yang dimuat naik dalam akaun Facebooknya, hari ini.

Beliau mengulas video klip berdurasi yang dimuat naik di laman sosial Youtube semalam menunjukkan Guan Eng menari dan menyanyikan lagu ‘ABC’, yang kandungan liriknya dilihat menyindir Kerajaan Barisan Nasional (BN), dengan sekumpulan kanak-kanak.

Guan Eng bertindak sedemikian ketika merasmikan tuisyen rakyat pada Sabtu lalu membawa cakera padat (CD) dan mengajar kanak-kanak menyanyi ABC dengan menghina Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Video berdurasi 32 saat yang tular sejak semalam itu juga memaparkan seolah-olah GST memberi kesan buruk kepada rakyat.

Antara bait-bait lirik yang terkandung dalam lagu berkenaan termasuk, ‘A B C D G S T, harga semakin tinggi, tak naik lagi gaji, mesti makan maggi mee, semua kena GST, bayar untuk 1Malaysia Development Bhd (1MDB)’. – MalaysiaGazette