Home Politik Zahid sindir Azmin simpan dana pusat untuk pilihan raya

Zahid sindir Azmin simpan dana pusat untuk pilihan raya

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Kenduri Rakyat di Kampung Matang Pagar, Sungai Buloh, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 19 MAC 2018.

SUNGAI BULOH – Kerajaan Negeri Selangor diingatkan tidak menyimpan dana yang disalurkan Kerajaan Persekutuan ke dalam rizab negeri semata-mata untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa simpanan negeri dalam keadaan baik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebaliknya peruntukan itu perlu digunakan untuk pembangunan di kawasan Selangor dan bukannya disalurkan pada musim pilihan raya semata-mata.

“Kita tidak akan meletakkan di kantung khazanah dengan tujuan memperlihatkan kepada rakyat bahawa semasa kita memegang sesuatu jawatan, simpanan kita baik, dan bertambah.

“Sedangkan wang itu harus digunakan untuk pembangunan, bukan disimpan yang akhirnya digunakan ketika pilihan raya, baru nak tabur

“Itu namanya pemimpin kelawar, pemimpin bermusim, ketika musim buah baru datang, baru kenal buah, baru mahu datang melihat pokok-pokok berbuah. Pemimpin UMNO dan BN tidak begitu sifatnya,” katanya berucap merasmikan Majlis Kenduri Rakyat di Matang Pagar, di sini, malam ini.

Hadir sama Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan selaku Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar serta Koordinator Pembangunan Persekutuan DUN Paya Jaras selaku Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Zein Isma.

Beliau menyindir kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang gagal menyalurkan peruntukan negeri untuk pembangunan di DUN Paya Jaras khususnya masalah kekurangan rumah ibadat iaitu masjid.

Oleh kerana kegagalan itu, kerajaan pusat terpaksa menyalurkan hampir RM5.3 juta untuk pembangunan masjid baharu di DUN Paya Jaras.

Beliau berkata, masjid perlu dijadikan tempat untuk mewujudkan perpaduan masyarakat Islam dan bukan disalahgunakan demi kepentingan politik pihak tertentu.

“Saya mengharapkan agar masjid tidak digunakan untuk meraikan perbezaan pendapat yang menyebabkan perpecahan dalam kalangan kita.

“Jadi masjid adalah tempat ibadat, tempat perpaduan, tempat kita mengisi aktiviti kita dan tempat untuk mendirikan sembahyang mendirikan agama, meninggalkan sembahyang meruntuhkan agama,” katanya. – MalaysiaGazette