Home Politik ‘Kami sokong Datuk Jo, jangan cuba sabotaj’

‘Kami sokong Datuk Jo, jangan cuba sabotaj’

KUALA LUMPUR – Walaupun disabotaj dengan poster dan banting yang dipasang, sokongan akar umbi kepada Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani masih kuat dan berpengaruh.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Affendi Zahari membuat laporan polis berhubung sabotaj ke atas Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Johari Abdul Ghani.

Ketua Persatuan Penjaja Jalan Raja Bot, Sharin Darus menolak keras cubaan mensabotaj ke atas wakil rakyat mereka tersebut dan memberi amaran supaya jangan cuba mencemarkan imej pemimpin yang mereka hormati tersebut.

“Kami tolak politik jalanan sebegini, mereka cuba cuba cetuskan kekecohan dan kami tolak cara sebgini… kami tidak setuju dan kami mahu wakil rakyat kami.

“Kekalkan Datuk Jo di sini, sebagai pengundi Titiwangsa kami bangga apabila beliau dilantik menjadi Menteri Kewangan… beliau selalu turun padang walaupun sibuk dengan tugasannya,” kata beliau semasa ditemui slepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.

Sementara itu, seorang lagi ketua wakil penduduk Jalan Jelatek, Hasmizi Abu Hashim turut membantah tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mensabotaj wakil rakyat mereka dengan menyifatkan ia satu pengkhianatan kepada pengundi di situ.

“Selama ini Datuk Jo banyak bantu kami, jika ada pengkhianat kami akan bangun dan lawan mempertahankan Datuk Jo dalam pilihan raya umum nanti,” kata beliau.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Affendi Zahari pula mendakwa tindakan sabotaj tersebut dilakukan oleh orang dalam parti sendiri dan menggesa supaya tindakan disiplin diambil terhadap individu yang cuba menjatuhkan Johari yang sememangnya disenangi oleh rakyat disitu.

“Pilihan raya nak dekat ini jadi macam-macam benda sebegini akan dilakukan… daripada cara ia dilakukan, ini cara orang dalam dan kami cara pembangkang adalah lain.

“Kita akan laporkan kepada Lembaga Disiplin terhadap sabotaj kepada parti dan kami mahu individu tersebut dipecat jika didapati bersalah melanggari peraturan parti,” ujar beliau.

Terdahulu, sekumpulan ahli UMNO Titiwangsa dan NGO setempat membuat laporan polis berhubung poster dan banting berunsur sabotaj terhadap Johari yang dipasang di sekitar kawasan parlimen tersebut.

Tular poster dan kain rentang sekitar beberapa kawasan di Titiwangsa tertera ‘Saya No!! To DJ’ dan ‘kami ahli UMNO akar umbi Titiwangsa memohon kepada YAB Perdana Menteri agar memilih calon lain selain daripada Datuk Johari #TolakJohariGhani #JoeSombong #JoeAngkuh #asalbukanjoeghani @JoeBongkak #ABJ.

Poster itu yang tersebar menerusi laman sosial dikhabarkan digantung di sekitar kawasan Chow Kit dan Keramat.

Ia adalah antara kawasan dalam Parlimen Titiwangsa.

Pada PRU ke-13, Johari berjaya merampas kerusi parlimen Titiwangsa daripada Pas dengan majoriti kecil, iaitu 866 undi. – MalaysiaGazette