Ketua misi Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata kapal akan meninggalkan pelabuhan Yangon, pada 1.45 tengah hari (waktu Malaysia) selepas kerja pemunggahan barang selesai.
Menurutnya pelayaran ke Chittagong akan mengambil masa tiga hari dan mereka dijangka tiba pada Isnin ini (13 Feb) namun ia bergantung kepada keadaan laut.
“Harap seluruh rakyat Malaysia mendoakan keselamatan kami untuk agihkan baki bekalan yang dibawa kepada masyarakat Rohingya (di Bangladesh).
“Kami juga harap kerajaan Bangladesh memberi kerjasama bagi memastikan misi ini tercapai,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mengulas mengenai protes sekumpulan warga Myanmar, beliau menganggap tindakan itu isu terpencil, sebaliknya memuji usaha kerajaan Myanmar yang membantu menjayakan misi ini.
“Kita lihat sendiri Menteri Kebajikan Masyarakat, Bantuan dan Penempatan Semula Myanmar Dr Win Myat Aye tunggu lebih dua jam untuk sambut ketibaan kami.
“Tunjuk perasaan itu hanya ‘isolated case’ dan orang ramai tidak perlu bimbang kerana semua proses berjalan lancar tanpa sebarang gangguan,” katanya.
Abdul Azeez berkata kerajaan Myanmar akan membantu memastikan 500 tan metrik bekalan yang dihantar diserahkan kepada masyarakat Rohingya di Rakhine.
“Mereka (kerajaan Myanmar) juga boleh agihkan bantuan ini kepada orang bukan Islam yang daif,” katanya.
Misi yang masuk hari kelapan ini membawa 2,300 tan makanan, keperluan perubatan, keperluan harian, pakaian dan selimut, dijangka belayar selama 18 hari melalui Laut Andaman untuk sampai ke Yangon dan kem pelarian di Bangladesh.
‘Food Flotilla for Myanmar’ yang dianjurkan oleh Kelab Putra 1Malaysia dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia itu disertai 195 sukarelawan dari 12 negara melibatkan pasukan perubatan, tenaga pengajar, pengamal media tempatan dan antarabangsa serta wakil badan bukan kerajaan tempatan dan luar negara.
— BERNAMA