Home Ekonomi Inflasi Februari naik 1.4%

Inflasi Februari naik 1.4%

Peniaga, Ishak Shaari menyusun ikan di Pasar Sungai Besi, Kuala Lumpur. ketika tinjauan MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR- Kadar inflasi pada Februari meningkat pada kadar perlahan kepada 1.4 peratus berbanding setahun lalu, lebih rendah berbanding kaji selidik Bloomberg yang meramalkan peningkatan sebanyak 1.9 peratus.

Menurut Jabatan Statistik, Indeks Harga Pengguna (IHP) menerima kesan daripada peningkatan perlahan makanan dan minuman tidak beralkohol serta penyusutan kos pengangkutan dan kejatuhan harga bahan api.

IHP turut meningkat perlahan berbanding Januari yang mana merekodkan peningkatan sebanyak 2.7 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Jabatan Statistik, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, keseluruhan indeks turut menerima kesan daripada penyusutan kos kumpulan pengangkutan sebanyak 0.3 peratus pada Februari.

Kumpulan-kumpulan yang juga mencatatkan penurunan adalah pakaian dan kasut sukan (-0.7 peratus) dan telekomunikasi (-0.5 peratus).

Antara kumpulan-kumpulan utama yang lain adalah peningkatan indeks makanan dan minuman (+3 peratus), perabot, peralatan isi rumah dan rutin penyelenggaraan isi rumah (+2.1 peratus), kesihatan (+2.1 peratus), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (+2 peratus) dan restoran & hotel (+1.8 peratus).

IHP pada Januari-Februari 2018 merekodkan peningkatan dua peratus berbanding tempoh sama sebelumnya.

Menurut Jabatan tersebut, empat negeri melepasi kadar IHP kebangsaan sebanyak 1.4 peratus pada Februari dengan Melaka mencatatkan peningkatan 1.8 peratus, Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (1.7 peratus), Johor (1.5 peratus) dan Sabah & Labuan (1.5 peratus).

Jelasnya, Indeks bagi makanan dan minuman tidak beralkohol meningkat 4.2 peratus di Kuala Lumpur, Sabah & Labuan (3.9 peratus), Johor (3.6 peratus), Pulau Pinang (3.2 peratus), Sarawak (3.1 peratus) dan Melaka (3.1 peratus).-MalaysiaGazette