KUALA LUMPUR – Sebanyak 761 projek baharu di Selangor masih ditangguhkan kelulusan bekalan air sehingga Januari lepas melibatkan keperluan bekalan air sebanyak 467 juta liter, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata, daripada jumlah ini, sebanyak 40 peratus atau 305 projek adalah berkaitan pembangunan projek perumahan pangsapuri dan teres.
“Memang jelas sekali, bahawa Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), mengatakan Selangor menghadapi masalah air kritikal, tetapi Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) tak nak terima kenyataan, malah beliau ego,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Beliau menjawab soalan Budiman Mohd Zohdi (BN-Sungai Besar) yang ingin tahu sama ada kementerian menerima rungutan daripada pemaju perumahan yang gagal menyiapkan pembangunan akibat masalah air di Selangor.
Mengulas lanjut, Noh mengakui sememangnya kementerian ada menerima rungutan dan rasa tidak puas hati daripada pemaju kerana terpaksa memohon Lanjutan Masa (EOT) bagi mengelak dikenakan denda lewat serah milikan disebabkan krisis air di negeri berkenaan.
Berikutan krisis air Selangor, Noh berkata, ia bukan sahaja melibatkan projek perumahan tetapi pembangunan perbandaran, projek komersil dan perindustrian.
Beliau berkata, krisis itu juga akan menyebabkan pihak luar sukar untuk melabur di negeri itu.
Katanya, Selangor yang dahulunya negeri maju kini berada di kedudukan keempat berbanding Johor di kedudukan pertama, diikuti Pulau Pinang dan Sarawak di tempat ketiga.
Noh berkata walaupun terdapat 20 projek di Sarawak, namun nilainya adalah RM10.5 bilion dengan purata setiap projek adalah RM525 juta.
“Di Selangor, walaupun ada 202 projek, tetapi pelaburannya adalah RM5.5 bilion sahaja bermakna purata satu projek adalah RM27.2 juta,” katanya. – MalaysiaGazette