KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 5.2 peratus pada tahun ini, turun sedikit daripada 5.9 peratus pada tahun lalu.
Penurunan itu disebabkan kawalan kredit dan pertumbuhan eksport yang sederhana.
Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales (ICAEW) dalam laporan Economic Insight berkata, permintaan domestik dijangka kekal kukuh pada tahun ini didorong oleh pasaran buruh yang lebih baik, kenaikan gaji kilang dan beberapa pendekatan populis yang diumumkan semasa Bajet 2018 akan memacu perbelanjaan isi rumah.
Meskipun begitu, perbelanjaan isi rumah dijangka sederhana tahun ini kerana kos hutang naik seiring dengan kenaikan kadar pinjaman domestik dan sokongan pasca fiskal pilihan raya.
ICAEW menambah, perbelanjaan pelaburan juga teguh dengan tinjauan menunjukkan peningkatan dalam perniagaan dan permintaan dalam bahan-bahan mentah serta lonjakan dalam pembinaan juga berikutan pelaburan swasta dan infrastruktur kerajaan pada 2017 diteruskan pada tahun ini.
Malaysia merekodkan pertumbuhan pelaburan swasta sebanyak 12.3% untuk tiga suku pertama tahun 2017, hampir tiga kali ganda dalam purata pertumbuhan tahunan dari tahun 2012-2016.
Mengenai tinjayan eksport, ICAEW berkata, pemulihannya mengesankan, ditambah dengan langkah Malaysia menyertai CPTPP akan memberi akses kepada 10 pasaran yang mewakili 13 peratus daripada KDNK global.
Bagaimanapun, perkembangan positif ini semakin tergugat dengan tindakan Kesatuan Eropah yang bercadang untuk mengharamkan penggunaan minyak sawit dalam bahan api motor dari tahun 2021.
Tindakan itu, akan menjejaskan Malaysia adalah pengeksport minyak sawit terbesar di dunia, sekaligus akan mewujudkan ketidakseimbangan pada isi rumah luar bandar yang berpendapatan rendah. – MalaysiaGazette