KUALA LUMPUR – Gaji minimum pekerja lulusan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini dicadangkan dinaikkan kepada RM3,500 setanding dengan pekerja mahir luar negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, skim gaji itu bakal diperkenalkan sebaik sahaja Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia diwujudkan di peringkat Kabinet.
Menurutnya, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) akan dilantik sebagai badan pemberi pengiktirafan tunggal kepada pendidikan kemahiran tinggi sebelum gaji minimum itu boleh dilaksanakan.
“Kalau kita lihat pekerja-pekerja mahir luar negara yang mendapat kelulusan khas oleh Jabatan Imigresen Malaysia mesti mempunyai gaji minima RM3,500. Sekarang ini gaji minima pekerja mahir tempatan hanya RM1,200 dan menerusi program TVET ini, kita nak naikkan gaji minima ini kepada RM3,500.
“Kenapa kita ambil pekerja luar negara yang berkemahiran tinggi dan boleh dibayar RM3,500. Ini amat tidak adil,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Ekspo TVET Malaysia 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini
Ahmad Zahid memberitahu, beliau sudah meminta Kementerian Sumber Manusia menyediakan memorandum kepada Majlis Jemaah Menteri untuk mempercepatkan pengwujudan Majlis TVET Malaysia.
Malah, beliau menawarkan diri untuk menjadi pengerusi Majlis TVET Malaysia jika dipersetujui oleh Majlis Jemaah Menteri supaya satu badan khusus dilantik untuk melakukan pengiktirafan bidang kemahiran tinggi.
Katanya, pada masa ini pelbagai kementerian melakukan pengiktirafan menyebabkan kebolehpasaran dalam guna tenaga bidang kemahiran tinggi tidak dapat diselaraskan. – MalaysiaGazette.