KUALA LUMPUR – Kerajaan mensasarkan gaji minimum tenaga mahir tempatan lulusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mencecah sehingga RM5,000 sebulan menjelang tahun 2030.
Dengan gaji tersebut akan menggalakkan pekerja tempatan memasuki bidang TVET, sekaligus meningkatkan guna tenaga mahir sehingga 43 peratus, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Ketika ini kita hanya mempunyai kira-kira 28 peratus sahaja pencapaian dalam guna tenaga kemahiran tinggi di Malaysia, justeru bidang ini perlu dipromosikan.
“Kita harus mencapai tahap 43 peratus guna tenaga seperti mana yang ditetap di negara-negara maju,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Ekspo TVET Malaysia 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.
Bagi tujuan itu, pengalaman dan kursus awalan dalam bidang kemahiran tinggi juga akan diberi pengiktirafan bagi membolehkan tenaga mahir di negara ini mendapat gaji yang setara dengan pekerja dari luar negara.
“Mereka juga mesti diberi peluang memasuki universiti-univerisiti teknikal supaya memperoleh diploma dan ijazah berdasarkan kepada kursus-kursus yang ditawarkan agar ada kombinasi di antara kelulusan sijil dengan pengalaman.
“Jika kombinasi kedua-dua dapat dilakukan, maka kelulusan TVET akan berada di tahap profesional dan mendapat pengiktirafan tinggi.
“Ini akan menjadikan TVET bukan lagi menjadi pilihan kedua, sebaliknya TVET menjadi pilihan pertama kepada guna tenaga di negara ini,” katanya.
Katanya lagi, TVET juga dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada tenaga mahir dari luar negara yang ketika ini mensyaratkan gaji minimum sebanyak RM3.500 sedangkan pekerja mahir tempatan hanya dibayar sehingga RM1,200 sebulan.
“Sudah tentu kita mesti menaikkan kadar gaji minimum kepada pekerja mahir tempatan ini, sekurang-kurangnya menyamai gaji yang ditawarkan kepada pekerja mahir dari luar negara.
Ditanya tentang pelaksanaan gaji minimum tenaga mahir tempatan, Ahmad Zahid berkata, TVET perlu menyediakan kursus kemahiran tinggi yang mempunyai nilai kebolehpasaran.
“Dalam penerapan bata, kita ambil pekerja mahir dari luar negara, tapi tak mahir mana pun, tapi pendapatan mereka RM3,500. Kenapa kita menafikan produk Malaysia dengan gaji RM1,200,” soalnya. – MalaysiaGazette