Home Politik Umum awal calon, BN boleh guna masa tarik pengundi

Umum awal calon, BN boleh guna masa tarik pengundi

JITRA – Calon-calon Barisan Nasional (BN) yang diumumkan awal untuk bertanding Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) perlu menggunakan masa dan peluang yang ada untuk berusaha lebih gigih menarik pengundi memilih BN.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, dan Sumber Tenaga Manusia Kedah, Datuk Noor Sabrina Mohd Noor berkata cadangan BN untuk mengumumkan lebih awal senarai calonnya juga boleh memberi lebih ruang kepada calon untuk giat berkempen.

“…calon dipilih layak kerana kekuatan calon itu sendiri merupakan faktor utama untuk pastikan kelangsungan pentadbiran kerajaan (BN) sedia ada,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Dewan Wawasan Jitra hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga pengerusi BN bahawa BN mungkin mengumumkan calon-calonnya lebih awal bagi membolehkan mereka menyelesaikan masalah yang mungkin berlaku di kawasan bertanding selain bersiap sedia untuk bertanding.

Terdahulu, Sabrina yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bandar Baharu, merasmikan majils penutup Pertandingan Inovasi dan Reka Cipta Melalui Pameran 2018 (iCompEx’18) Peringkat Kebangsaan yang menyaksikan RISDA Kuala Kangsar, Perak merangkul hadiah utama, Anugerah Inovasi Paling Bernilai iCompEx’18, dan membawa pulang RM2,000 berserta piala.

Pegawai Reka Cipta Inovasi Ibu Pejabat RISDA Muhamad Shairazi Supian berkata kumpulan lima anggota itu mencipta ‘Sistem Pengudaraan Sarang Kelulut’ yang dapat membantu mengekalkan suhu di dalam sarang kelulut sekali gus dapat membantu mempercepatkan penghasilan madu.

“Sebelum ini, suhu dalam sarang kelulut adalah antara 35 hingga 36 darjah Celcius dan ini menyebabkan kelulut malas menghasilkan madu tetapi dengan adanya sistem ini kita berjaya menurunkan suhu kepada 27 hingga 30 darjah celcius yang menyerupai suhu habitat asal mereka di dalam hutan,” katanya.

Beliau berkata sistem itu membantu meningkatkan penghasilan madu sehingga 1.5 kilogram (kg) berbanding 800 gram hingga satu kg sebelum ini.

Sembilan kategori dipertandingkan pada iCompEx’18 yang memasuki tahun keenam penganjurannya dengan 624 penyertaan dari pelbagai institusi pengajian dan agensi seperti Universiti Utara Malaysia (UUM), Politeknik Sultan Azlan Shah, Perak, Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa, Sungai Petani dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil dan Perusahaan Getah (RISDA). – BERNAMA