Kerajaan tidak akan melaksanakan kawalan modal dan tambatan ringgit, kata Datuk Johari Abdul Ghani.
Menteri Kewangan Kedua itu berkata, kedudukan ringgit tidak stabil, disebabkan terlalu banyak aktiviti spekulasi di luar pesisir selepas Donald Trump memenangi pilihan raya Presiden Amerika Syarikat baru-baru ini.
“Spekulasi tersebar dengan pelantikan Trump, Amerika Syarikat dijangka menaikkan kadar faedah, lantaran itu dana-dana di Asia, sebagai contoh, mula keluar.
“Malaysia bukan satu-satunya yang terjejas tetapi Korea Selatan, Taiwan, Filipina dan Indonesia. Ini adalah normal jika jika berlaku aktiviti spekulasi seperti ini
“Apa yang lebih penting, Bank Negara Malaysia fokus dalam mengendalikan pertukaran asing, mana-mana pihak yang mahu melabur dan mengeluarkan pelaburan, mereka akan mendapat wang mereka semula.
“Tidak ada kawalan modal, tambatan ringgit. Malaysia adalah ekonomi terbuka,” katanya ketika ditemui selepas Persidangan Institut Akauntan Malaysia 2016, di sini hari ini.
Tegas Johari, perkara itu adalah jaminan yang boleh diberikan oleh Kerajaan Malaysia.
Menurutnya, fundamental ekonomi negara adalah kukuh, dibuktikan dengan prestasi pertumbuhan suku ketiga, aktiviti ekonomi yang sedang dilaksanakan dan pelaburan infrastruktur.
Tambah beliau, kerajaan pula akan fokus membangunkan ekonomi, melaksanakan pendekatan yang betul untuk memastikan ekonomi berkembang.
Johari enggan mengulas spekulasi penganalisis yang meramalkan ringgit mampu jatuh mencecah RM4.80 berbanding dolar Amerika Syarikat.
Katanya, sukar menghentikan spekulatif, persepsi, ketidaktuan yang mendorong ketidakstabilan kepada prestasi ringgit.
“Namun begitu, sebagai sebuah negara fokus melakukan perkara yang betul,” ujarnya. – MalaysiaGazette