KUALA LUMPUR – Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) sedang mencari jalan untuk menyelesaikan isu ketidakpadanan di antara permintaan pembeli dengan jenis rumah yang ditawarkan oleh syarikat tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Mutalib Alias berkata, isu tersebut memang berlaku meskipun syarikat berkenaan meminta responden mengisi borang pendaftaran dengan menyatakan kehendak mereka semasa program tersebut mula dilancarkan.
“Ada kalanya kami menawarkan terlalu sedikit rumah setingkat, ada pula yang terlebih bina rumah dua tingkat.
“Kami sedang mengatasi isu ini cuma di Lembah Klang memang kami hanya membina rumah jenis pangsapuri,” katanya ketika ditanya mengenai isu lebihan rumah mampu milik di beberapa lokasi.
PR1MA yang ditubuhkan di bawah Akta PR1MA 2012 diberi mandat untuk membina rumah-rumah berkualiti kepada kumpulan berpendapatan sederhana yang tinggal di bandar-bandar besar serta di pinggar bandar.
Pendapatan isi rumah yang berpendapatan di antara RM2,500 sehingga RM15,000 sebulan layak untuk memiliki rumah PR1MA.-MalaysiaGazette