Home Utama Jangan tengok salah saja, nilai jasa 1MDB juga

Jangan tengok salah saja, nilai jasa 1MDB juga

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika hadir di Majlis Dialog Anak Muda Gagasan Sejahtera di De Palma Hotel, Shah Alam, Selangor. foto IMRAN FAKHRI, 25 MAC 2018.

SHAH ALAM – Masyarakat di negara ini tidak seharusnya menilai kesalahan dalam pengurusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semata-mata, demikian menurut Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Hadi berkata, biarpun terdapat kesalahan dalam pengurusan badan itu, rakyat juga harus tidak lupa akan jasa-jasa yang telah diberikan badan pelaburan kerajaan itu kepada rakyat selama ini.

“Apa yang berlaku ini kita bawa kepada budaya Melayu mudah lupa, (kes) 1MDB yang dulu-dulu kita tidak lupa semua. Mereka yang salah mesti dihukum tetapi kita mesti lihat bukan sahaja kesalahan dia tetapi juga jasa.

“Islam ini kalau menghukum orang bukan menilai salah dia sahaja, tetapi mesti lihat kepada jasa-jasa dia, bila dia buat baik mesti diambil kira jasa dia.

“Kemudian ditolak campur kepada jasa dan kejahatan dia. Ini pendekatan yang diambil oleh Pas,” katanya dalam program Dialog Anak Muda Gagasan Sejahtera di Shah Alam hari ini.

Awal bulan lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata pembangkang boleh mengkritik pelaksanaan 1MDB namun mereka tidak boleh menafikan segala kebaikan yang telah dikecapi oleh rakyat.

Menurut Najib, 1MDB telah membantu kerajaan dalam proses pelaksanaan program pemindahan dan pembinaan lapan kem baharu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjumlah RM2.7 bilion.

Mengulas lanjut, Hadi berkata Pas mengambil pendekatan untuk tidak terus menghukum seseorang individu yang menguruskan badan itu.

Malah katanya, Pas konsisten dengan tidak menerima budaya terus menghukum ini, dan mengambil pendirian berkecuali.

“Bukan kita membela orang yang jahat, tetapi kita mahu dikendalikan seadilnya. Kita hendak orang yang dituduh dianggap tidak bersalah.

“Dia (Datuk Seri Najib) baru dituduh, tapi apa yang berlaku pada hari ini, bila tuduh sahaja terus diadil salah.

Hadi dipercayai merujuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung isu 1MDB.

Sebelum ini, Pas didakwa berdiam diri berhubung isu 1MDB namun Hadi berkeras mengatakan beliau ada menegur Najib secara tertutup.

“Ini pendekatan yang tidak betul. Kita tidak melampaui batas dalam menyebarkan fitnah dan mengikut ajaran Islam, kalau betul berlaku kita mesti cari jalan untuk murni kan keadaan supaya tidak berlaku tindakan yang bersifat keterlanjuran,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.

2 Komen

  1. memang lah jasa 1MDB terlalu besar . seorang haji mabrur lebih besar dari langit dan bumi ini . apa lah sangat dosa 1MDB yang bukan separuhdari dunia ini . cukup lah dengan ribuan haji memberi sefaat dosa setinggi gunung pun bolih ditebusnya . tebusan yang dijamin olih islam pas .

Comments are closed.