Home Sukan Penjaga gol kritik bola Piala Dunia

Penjaga gol kritik bola Piala Dunia

LONDON – Kualiti bola rasmi yang akan digunakan pada kejohanan berprestij Piala Dunia 2018 di Russia kini mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan penjaga gol.

Terbaharu, penjaga gol Sepanyol dan Jerman, David de Gea dan Marc-Andre ter Stegen mengkritik bola Telstar 18 buatan Adidas tersebut dan mencadangkan  agar ia ditukar sebelum Piala Dunia bermula.

Menurut De Gea, penggunaan bola itu akan menjadi mimpi buruk kepada semua penjaga gol yang bertanding.

“Kualitinya bola itu pelik dan ia boleh dibuat dengan lebih baik,” katanya yang ditewaskan oleh penyerang Jerman, Thomas Muller menerusi rembatan kencang dari jarak 25 meter.

Sebelum ini, bintang Argentina, Lionel Messi merestui Adidas Telstar 18 yang diinspirasikan daripada bola yang digunakan dalam kejohanan 1970 di Mexico.

Tetapi, selepas Sepanyol dan Jerman seri 1-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Dusseldorf semalam, kedua-dua penjaga gol yang memulakan perlawanan itu tidak berpuas hati dengan kualiti bola tersebut.

“Kami tidak mempunyai pilihan dan cuba mendapatkan cengkaman secepat mungkin sebelum Piala Dunia bermula,” kata penjaga gol Jerman, Ter Stegen.

Sementara itu, rakan sepasukan De Gea, Reina, berpendapat FIFA harus mempertimbangkan untuk menukar Telstar 18 kepada bola yang berbeza.

“Bola itu dilapisi dengan selaput plastik yang menyukarkan untuk penjaga gol menahan bola itu dari rembatan jarah jauh,” jelasnya. – MalaysiaGazette