SEPANG – Pasukan polis daerah Sepang akan menggunakan seramai 680 pegawai dan anggota bagi memastikan Pilihan raya Umum Ke-14 (PRU-14) berjalan dengan lancar dan selamat.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, pihaknya juga sentiasa bersedia pada bila-bila masa sahaja pilihan raya diadakan sekalipun dalam tempoh waktu yang terdekat.
“Sebenarnya kita telah bersedia sejak awal lagi tetapi jangkaan pilihan raya umum akan diadakan bila-bila masa telah menyebabkan kita lebih bersedia untuk menghadapi sebarang ancaman kemungkinan berlaku di daerah ini.
“Bagaimanapun, orang ramai termasuk parti bertanding diminta mematuhi peraturan pilihan raya supaya daripada berlakunya sebarang kejadian dan insiden sepanjang berlangsung PRU-14,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Hari Polis ke-211 peringkat Sepang di sini hari ini.
Selain itu, Abdul Aziz juga memberi jaminan kebajikan pesara polis yang pernah berkhidmat di daerah tersebut sentiasa dibela.
Jelasnya, pihaknya mempunyai pangkalan data yang menyimpan maklumat pesara polis menetap di daerah itu merangkumi bagi mereka tidak pernah berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.
“Pangkalan ini amat penting untuk kami untuk mengambil peduli soal kebajikan mereka memandangkan warga pesara polis telah banyak menabur bakti untuk menjaga keselamatan tanah air.
“Selain itu, mereka dijemput untuk menyertai pelbagai aktiviti anjuran IPD Sepang termasuklah sambutan hari polis diadakan pada hari ini,” katanya.-MalaysiaGazette