Home Sukan Salah sedia tolak tawaran Real Madrid

Salah sedia tolak tawaran Real Madrid

Mohamed Salah akan kekal di Anfield dan bersedia menerima gaji lumayan dari Liverpool musim depan. - The Sun

ENGLAND – Mohamed Salah kekal di Anfield dan tidak akan melayan tawaran Real Madrid untuk berhijrah ke Santiago Bernabeu akhir musim ini.

Ini kerana Liverpool sudah menawarkan gaji lumayan sebanyak £200,000 seminggu untuk pemain berkenaan, sekaligus menolak bidaan kelab la Liga Sepanyol itu.

Sejak menyertai Liverpool dengan nilai perpindahan sekitar £36.9 juta dari AS Roma tahun lalu, Salah berada di kemuncak dengan berpesta gol tanpa masalah.

Pemain berusia 25 tahun itu menjaringkan 36 gol dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Real Madrid bakal merombak skuadnya secara besar-besaran dan Salah merupakan pemain utama dalam senarai teratas kelab itu.

Bagaimanapun laporan di Sepanyol mendakwa the Kops menyedari tentang minat Real Madrid terhadap pemain itu dan sudah membuat keputusan untuk tidak melepaskan Salah dalam apa jua keadaan sekalipun.

Liverpool juga dikatakan tidak mahu mengulangi kesilapan membenarkan Philippe Coutinho menyertai Barcelona baru-baru ini dalam soal Salah.

Malah Salah juga dilaporkan tidak memikirkan penghijrahannya ke Sepanyol dalam tempoh begitu singkat ini.

Pemain itu masih mahu memperbaiki prestasi permainannya dalam EPL selepas gagal membawa impak bersama Chelsea empat tahun lepas.

Selepas membina semula kariernya bersama kelab Serie A AS Roma, Salah memaklumkan rakan sepasukannya dia akan tinggal di England.

“Saya suka EPL. ia serasi dengan gaya permainan saya dan saya suka bermain di sini (Liverpool),” katanya.

Ia dikatakan satu keputusan meyakinkan pengurus kelab itu Jurgen Klopp yang sudah dalam proses membina skuad yang mampu bersaing untuk gelaran EPL musim hadapan dengan Salah dan kehadiran pemain baharu iaitu Naby Keita dari RB Leipzig. – MalaysiaGazette