KUALA LUMPUR- Jaguh trek negara, Mohd Azizulhasni Awang meraih pingat emas acara pecut individu elit lelaki pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) ke-35, di New Delhi, India, hari ini.
Bernama melaporkan, pemenang pingat gangsa acara keirin di Olimpik Rio 2016 itu meraih kemenangan 2-0 selepas mendominasi perlumbaan pertama dan kedua dengan catatan masa 10.451 saat dan 10.526 saat di Velodrom Indira Gandhi.
Dia menewaskan Tomoyuki Kawabata dari Jepun yang mencatat masa 10.543 saat dan 10.623 saat bagi dua perlumbaan.
Sebagai rekod pelumba yang lebih dikenali sebagai The Pocket Rocketman itu pernah memenangi emas dalam acara pecut individu pada 2008, 2009 dan 2014.-MalaysiaGazette