KUALA LUMPUR – Semakin hampir tarikh pembubaran Parlimen, semakin banyak khabar angin timbul khususnya melibatkan calon Barisan Nasional (BN) yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Terbaru melibatkan kawasan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di mana berlaku perebutan di kerusi N54 di antara MIC dengan UMNO susulan kehadiran pemimpin Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang juga anak tempatan, Ramesh Rao menawarkan diri menjadi calon.
Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hutan Melintang itu yang dimenangi calon PKR, Kesavan Subramaniam pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu dengan majoriti 1,240 undi menjadi rebutan memandangkan kerusi itu berstatus marginal.
Kehadiran Ramesh selaku Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) ke Hutan Melintang tidak disenangi Pengerusi MIC Perak, Datuk V. Elango hingga suasana itu dilihat tidak membantu BN untuk merampas kembali kawasan berkenaan.
Menurut sumber MalaysiaGazette, gerak kerja yang diatur Ramesh sejak lebih tiga bulan lalu apabila turun padang hampir setiap hari dengan pelbagai program serta bantuan kebajikan rumah ke rumah di Hutan Melintang dicemburi MIC Perak.
Malah tindakan Ramesh bertindak sebagai ‘calon terjun’ dipertikaikan banyak pihak kerana ia mendahului kepimpinan BN yang belum mengumumkan senarai calon parti itu.
Sumber turut memberitahu, bagi meredakan pertelingkahan itu, UMNO dikhabarkan telah meletakkan calonnya yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Bagan Datuk, Datuk Khairuddin Tarmizi.
Umum mengetahui Khairuddin merupakan Pegawai Khas Kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Langkah meletakkan calon UMNO di kerusi N54 yang merupakan kerusi tradisi MIC dikatakan akan menyebabkan berlaku sabotaj dalaman, sekali gus memenangkan calon Pakatan Harapan (PH).
Ini kerana daripada 20,758 pengundi berdaftar di Hutan Melintang, komposisi kaumnya terdiri daripada Melayu (50.41 peratus), Cina (17.01 peratus), India (3.54 peratus) dan lain-lain (0.04 peratus).
Malah sumber turut memberitahu mana-mana calon BN yang berjaya merampas kerusi N54 daripada calon PKR bakal diangkat menjadi Menteri Besar Perak akan datang susulan DUN Hutan Melintang berada dalam kawasan Timbalan Perdana Menteri.
Tidakk mustahil jika MIC dan UMNO berterusan berbalah serta berebut kerusi itu, tidak mustahil kaedah meletakkan calon terus bakal digunakan pucuk pimpinan BN yang diguna pakai pada PRU13 lalu.
Namun risiko kehilangan kerusi sangat tinggi susulan calon terus yang diangkat menjadi calon tiada jawatan dalam parti dan tidak disenangi oleh jentera parti.
Mungkin pergolakan dalaman parti semakin reda, namun dengan kebijaksanaan dan pertimbangan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka dapat melenyapkan perebutan kerusi ini sekali gus memastikan kemenangan di pihak BN menjadi keutamaan. – MalaysiaGazettte