KUALA LUMPUR – Kerajaan menampung jumlah subsidi melebihi RM2 bilion setahun bagi menangani peningkatan kos sara hidup rakyat.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Henry Sum Agong berkata, jumlah itu melibat barangan keperluan asas seperti gula, minyak masak, tepung gandum, beras dan gas memasak (LPG) supaya ia dapat dijual di pasaran pada harga yang ditetapkan.
“Kerajaan masih mengawal harganya (barang keperluan asas) supaya barang-barang tersebut dapat dijual di pasaran pada harga yang ditetapkan,” katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Dr. Lucas Umbul pada sesi soal jawab mengenai langkah kerajaan menangani kos sara hidup di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata, pelbagai inisiatif dan program diambil kerajaan bagi memastikan isu peningkatan kos sara hidup rakyat dapat dikawal dan membantu meringankan beban mereka seperti pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan, program Penyeragaman Harga Barang, Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) melalui KR1M 2.0 dan MyFarm Outlet dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
“Kementerian juga sentiasa menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi memastikan peniaga tidak mengambil keuntungan secara berlebihan dan membekalkan barangan pada harga berpatutan,” katanya. -MalaysiaGazette