JOHANNESBURG – Bekas Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma akan dihadapkan ke mahkamah pada 6 April depan atas dakwaan salah guna kuasa dan rasuah.
Zuma didakwa menerima rasuah dari pelbagai pihak sehingga AS$5 bilion (RM19.51 bilion) hasil pembelian beberapa beberapa jet pejuang dan peralatan ketenteraan negara itu.
Jurucakap polis, Hangwani Mulaudzi berkata, dengan bukti kukuh yang diperolehi, pihaknya telah mendapatkan kebenaran mahkamah untuk mendakwa Zuma bulan hadapan.
“Kami mengesahkan saman kehadiran sudah diserahkan kepada bekas Presiden. Kes ini akan didengari pada 6 April di Mahkamah Tinggi Durban. Ia adalah tuduhan rasmi,” katanya.
Jawatankuasa eksekutif parti Kongres Nasional Afrika (ANC) Afrika Selatan memecat Presidennya, Zuma sebagai ketua negara selepas mengadakan mesyuarat selama 13 jam pada 14 Februari lepas.
Zuma,75, yang telah memegang tampuk pemerintahan sejak tahun 2009 menghadapi pelbagai tuduhan salah laku dan penyelewangan dana negara namun sentiasa tampil menafikannya.
Bagaimanapun, ANC yang mengadakan usul tidak percaya terhadap pemimpin ‘kuku besi’ itu kemudian bertindak memecatnya setelah jawatankuasa itu yang mahu beliau meletak jawatan secara sukarela tidak berjaya.
Zuma terpalit dengan pelbagai skandal rasuah selain bertanggungjawab terhadap pertumbuhan ekonomi yang perlahan serta kadar pengangguran yang tinggi telah mencetuskan kemarahan rakyat di negaranya.
Pada tahun lalu, Mahkamah Agung memutuskan Zuma akan berhadapan dengan 18 tuduhan rasuah, penipuan dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan perjanjian senjata pada 1999.
Baru-baru ini, hubungan Zuma kepada keluarga Gupta, individu kaya yang dilahirkan di India, yang dikatakan mempengaruhi kerajaan telah menyebabkan popularitinya merosot.
Namun dakwaan itu dinafikan oleh kedua-dua pihak. – MalaysiaGazette