Home Nasional Baju merah lapor polis sekat demo Bersih

Baju merah lapor polis sekat demo Bersih

Ketua Gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap penganjur perhimpunan haram Bersih 2.0 di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini. Foto Adam

KUALA LUMPURĀ – Gerakan Baju Merah hari ini membuat laporan polis terhadap Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) yang merancang mengadakan perhimpunan haram di pekarangan bangunan Parlimen esok.

Ketuanya, Datuk Seri Jamal Md. Yunos berkata, laporan polis itu dibuat bagi menghalang kumpulan Bersih 2.0 daripada menimbulkan provokasi menghalang ahli-ahli Parlimen daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

“Hari ini kami Gabungan NGO 1Malaysia dan Gerakan Baju Merah telah membuat satu laporan polis berkenaan Bersih 2.0 mahu mengadakan demostrasi dan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri di Parlimen esok.

“Tujuan mereka sebenarnya untuk membuat kacau-bilau, mengganggu keharmonian dan paling membimbangkan cuba menyekat perjalanan ahli-ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) memasuk Parlimen.

“Malah kumpulan ini juga ada rancangan untuk menghalang Perdana Menteri masuk ke dalam Dewan Rakyat bagi menjalankan tugas-tugas sebagai ahli Parlimen,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, hari ini.

Semalam, Jamal bersedia mengerahkan sehingga 10,000 ahlinya turun ke pekarangan Bangunan Parlimen pada Rabu ini bagi menghalang Bersih 2.0 melakukan demostrasi menghalang persidangan Dewan Rakyat mengenai persempadanan semula.

Jamal juga berkata, rancangan Bersih 2.0 itu perlu dihalang malah pihaknya melalui peguam Gerakan Baju Merah akan mendapatkan perintah mahkamah bagi memastikan perhimpunan haram itu disekat.

“Kami dimaklumkan daripada sumber-sumber sahih bahawa Bersih 2.0 akan berhimpun di Dataran Pahlawan mulai jam 6 pagi dan akan mula berarak hingga pukul 8 pagi.

“Dianggar seramai 3,000 peserta akan menyertai perhimpunan Bersih, di mana kami dimaklumkan ia diketuai oleh Mohamad Sabu dan pemimpin-pemimpin daripada Pakatan Harapan dan berkemungkinan turut dihadiri oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad,” katanya.

 

Katanya lagi, keupayaan pihaknya mampu menghimpunkan 10,000 ahli kumpulan baju merah adalah berdasarkan kepada sebanyak 483 NGO telah didaftarkan di bawah Gabungan NGO 1Malaysia itu.

Laporan polis itu disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012. – MalaysiaGazette