KUALA LUMPUR – Teki-teki mengenai kedudukan Pengarah Unit Tindakan Khas, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yusuf Azmi di dalam NGO itu akhirnya terjawab apabila beliau mengumumkan pengunduran dirinya secara rasmi hari ini.
Dalam sidang media, Yusuf mengakui berat hati untuk membuat keputusan tersebut namun yakin ia adalah jalan terbaik baginya.
Antara sebab yang diberikan Yusuf hingga mendorong keputusan itu dibuat adalah kerana kecewa dengan sikap pihak tertentu yang pernah dibantunya sebelum ini membuat tuduhan dan fitnah terhadap dirinya.
“Antara sebab-sebab saya buat keputusan ini adalah kerana pengkhianatan yang berlaku. Sebenarnya, pengkhianatan itu kepada kita ni berlaku setiap tahun.
“Tapi sejak tahun ni viral kes AGR menjadikan perkara itu mendapat perhatian daripada public (orang ramai) yang mengatakan seolah-olah kita buat benda tak betul,” katanya.
Yusof turut menegaskan, sepanjang dalam PPIM selama lapan tahun tidak pernah terdetik pun dihatinya mahu mempergunakan persatuan itu untuk memberi kesenangan kepada dirinya dan ahli keluarganya.
“Selama saya dalam PPIM saya tidak pernah pun membawa satu pun ahli keluarga saya. Sehingga saya terpaksa memohon bantuan daripada seorang adik saya untuk membantu kerana banyak masalah dalam bidang pengurusan.
“Saya minta tolong padanya pada hari raya yang lepas. Ada yang diviralkan berkenaan adik saya pakai kereta (Toyota Velfire) bila masuk PPIM.
“Sebenarnya kereta itu dia dah pakai sebelum dia masuk PPIM lagi,” ujarnya.
Justeru Yusof turut merayu agar individu yang terlibat dalam menabur fitnah terhadap diri dan adiknya agar segera menghentikan perkara itu.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa keputusannya untuk keluar daripada PPIM bukan kerana mahu menyertai mana-mana parti politik.
“Saya tidak mahu dan tidak pernah terlibat dengan mana-mana kepimpinan dalam parti politik. Iyalah, saya ni satu orang tak pandai, orang tak belajar pun, nak duduk dalam politik ni jauh sekali.
“Saya harap, rakan-rakan media dan blogger, jangan manipulate (manipulasi). Kalau saya nak jadi orang politik kayalah saya.
“Jadi saya harap hentikan perkara-perkara yang mengatakan saya mahu menceburi dalam bidang politik ,” ujarnya.
Ketika menjelaskan hala tujunya selepas keluar daripada PPIM, Yusuf memberitahu, beliau bercadang untuk mewujudkan sebuah pusat penjagaan kucing-kucing terbiar.
Katanya, aktiviti itu sudah pun bermula dan menganggapnya perbuatan yang mulia.
“Saya rasa kucing itu kalau kita bagi dia makan dia tak gigitlah, jadi sekurang-kurangnya saya kata pada kucing, doakan ayah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan dalam responnya memberitahu, pada masa ini Yusuf hanya akan menghabiskan kerja-kerja yang tertangguh dengan persatuan itu sebelum secara rasmi meninggalkan PPIM.
Katanya, Yusuf tidak lagi akan menguruskan kes-kes baru yang diterima oleh persatuan itu.
“Secara peribadinya, Yusuf ini kecewa juga dengan apa yang telah dibuat.
“Masalah Yusuf ini dia merupakan orang muda yang pada saya agak degil. Kalau saya kata tak payah tolong orang ini, tapi belakang saya dia pergi tolong juga.
“Pasal bagi saya kalau nak tolong orang patut-patut dahlah, ni pegi bagi duit dan kalau takde dia pegi pinjam pula kat orang lain untuk tolong orang itu.
“Saya dah banyak kali marah sebab tak boleh begini. Tapi dia mungkin dibawa oleh pengalamannya pernah sudah dahulu hingga dia nak juga membantu,” ujarnya.- MalaysiaGazette
[…] ‘Tolong kucing lebih baik daripada orang’ – Yusuf Azmi […]