KUALA LUMPUR – BIMB Investment Management Bhd. (BIMB Invest), anak syarikat Bank Islam Malaysia Bhd. mengumumkan agihan pendapatan sebanyak lapan peratus bagi dana ekuiti pelbagai matawang global Syariah-ESG, BIMB-Arabesque i Global Dividend Fund 1.
Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Invest, Najmuddin Mohd. Latif berkata, pencapaian itu melebihi sasaran penanda arasnya iaitu enam peratus dan lebih tinggi berbanding agihan pendapatan tahun lepas sebanyak 7.1 peratus untuk kelas ringgit dan 6.9 peratus untuk dolar AS.
Dana yang dilancarkan pada November 2015 sehingga Februari 2018 memberikan 30.63 peratus pulangan keseluruhan untuk kelas dolar AS dan 19.14 peratus untuk kelas ringgit.
Setakat ini, dana tersebut merupakan Dana Ekuiti Islam Global terbesar di Malaysia dengan saiz dana keseluruhan kira-kira RM330 juta.
Menurut Najmuddin, dana tersebut menggunakan kepintaran buatan (AI) dan teknologi big data dalam proses pelaburannya.
Proses tersebut menyisihkan sikap pilih kasih dan naluri manusia untuk membina satu kombinasi saham-saham terbaik dunia. – MalaysiaGazette