Home Politik Pembangkang tolak persempadanan kerana takut ditolak rakyat

Pembangkang tolak persempadanan kerana takut ditolak rakyat

Datuk Liang Teck Meng

KUALA LUMPUR – Tindakan blok pembangkang yang bersungguh-sungguh menolak Rang Undang-Undang (RUU) Kajian Semula Persempadanan kerana mereka takut akan ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Simpang Renggam, Datuk Liang Teck Meng menyifatkan langkah pembangkang membuat pelbagai dakwaan berhubung persempadanan kerana mahu menghasut orang ramai membenci kerajaan dan semata-mata demi kepentingan politik sendiri.

“Dakwaan pembangkang sama sekali tak berasas dan tidak bertanggungjawab… ia bertujuan menghasut orang ramai untuk kepentingan politik sendiri.

“Persempadanan ini tidak menentukan siapa menang siapa kalah, kemenangan dan kekalahan ditentukan oleh para pengundi,” kata beliau semasa membahaskan usul tersebut di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau lagi, pembangkang sedaya upaya bersungguh-sungguh menolak persempadanan kerana mereka tahu tidak akan mendapat sokongan daripada rakyat lagi.

“Pembangkang cuba sedaya upaya menolak (persempadanan) kerana mereka tidak akan mendapat mandat daripada rakyat lagi,” ujarnya.

Teck Meng berkata, ia bukan kali pertama pembangkang membuat dakwaan tidak berasas malah semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 mereka juga membuat cerita kononnya jutaan pengundi Bangladesh dibawa masuk sebagai pengundi hantu dan pelbagai lagi dakwaan tidak benar.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan bacaan pertama Rang undang-undang (RUU) kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya persekutuan dan negeri-negeri Tanah Melayu di Dewan Rakyat.

Kali terakhir proses persempadanan semula dibuat kerajaan ialah pada 2003.

Persempadanan semula sepatutnya mengambil tempat pada 2011 namun ditangguhkan untuk memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang diadakan pada 5 Mei 2013. – MalaysiaGazette